Saturday, September 25, 2010

Tiga remaja rentung kemalangan


JOHOR BAHRU - Tiga remaja lelaki maut apabila kereta Proton Saga yang dipandu salah seorang daripada mereka terbakar selepas bertembung dengan sebuah van sekolah di Jalan Masai-Kong Kong di Pasir Gudang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Mohd. Roslan Zainuddin berkata, dalam kejadian pada pukul 6 pagi, mangsa Ashrul Hafizul Halim, 17, yang memandu Proton Saga dari arah Kong Kong dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya.
Bagaimanapun, menurut beliau, Ashrul gagal memotong kenderaan tersebut sebelum bertembung dengan sebuah van sekolah yang datang dari arah bertentangan.


Cebisan baju jadi petunjuk

PASIR GUDANG: Hanya cebisan baju merah menjadi petunjuk kepada Elias Abdul Rahman, 47, untuk mengesahkan anaknya, Mohamad Quril Helmey, 17, seorang daripada tiga remaja yang rentung selepas kereta yang mereka naiki terbakar akibat bertembung sebuah van sekolah, pagi semalam.
“Cebisan baju merah itu menjadi petunjuk satu daripada mayat rentung itu anak saya. Kali terakhir saya bertemu Quril pada jam 7.30 malam tadi (kelmarin) ketika dia bersiap untuk pergi bekerja di sebuah kilang,” katanya.
Menurutnya, sebelum Quril ke tempat kerja, ibunya menghulurkan mi goreng sebagai bekalan pada waktu rehat memandangkan dia baru dua hari bekerja di kilang itu.

“Saya sedih dengan kejadian ini, apa tidaknya dia sanggup berhenti sekolah semata-mata untuk bekerja dan menyara adik,” katanya. Ibu Mohd Syamin, Norazah Aziz, 33, berkata dia amat terkilan mengenangkan anaknya tidak sempat menjamah sarapan selepas pulang dari tempat kerja.

“Saya menunggu kepulangan Syamin, tapi hampir pengsan selepas dimaklumkan rakannya dia maut dalam kemalangan,” katanya.

Norazah yang ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan, berkata pagi semalam dia sibuk menyediakan sarapan untuk Syamin, tetapi mula tidak sedap hati apabila rakan anaknya itu tiba-tiba datang ke rumahnya di Taman Cahaya Baru Masai di sini.

“Saya mula tak sedap hati dan hampir luluh hati saya apabila rakan Syamin mengatakan dia maut dalam kemalangan,” katanya.

Menurut Norazah, anak keduanya itu ada menunjukkan sikap pelik iaitu ingin bermanja dengannya selain periang beberapa hari sebelum kejadian.

Malah, ketika mereka sekeluarga menonton televisyen, Syamin paling ceria, tetapi Norazah tidak mengendahkan perubahan sikap anaknya itu kerana gembira menyaksikan gelagatnya.

Sebelum kejadian, Syamin juga berpesan kepada Norazah supaya membawa dua lagi adiknya yang masih kecil pulang ke kampung di Pasir Mas, Kelantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan.

“Dalam kejadian sama, seorang pemandu van sekolah patah tulang rusuk dan kini dirawat. Mayat mangsa dihantar ke HSI untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing bagi urusan pengebumian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan ini diminta menghubungi hotline Polis Johor di talian 07-2212999 atau balai polis berhampiran,” katanya yang menambah kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.






.

2 Penyokong CHELSEA:

kunakpress.blogspot on September 25, 2010 at 1:38 PM said...

WASPADA DI JALANRAYA

Lulu Caldina on September 25, 2010 at 1:48 PM said...

itulah..nak memotong kena berhati-hati..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!