MANCHESTER - Manchester City melayan kedatangan Chelsea di Eastlands hari ini, dengan Roberto Mancini berhati-hati apabila berdepan ujian sebenar pertama pasukannya, yang 'direka bentuk' untuk mendominasi Liga Perdana.
Chelsea belum kalah setakat ini dan Mancini sedar, dia perlu menamatkan rentak kemenangan juara bertahan itu, jika mahu mengekalkan keyakinan bahawa dia mampu menukar pasukan yang berbelanja besar itu menjulang trofi.
Mancini telah kehilangan peluang untuk memenangi Piala Liga, selepas percaturannya melakukan 11 pertukaran pemain ketika menentang West Bromwich Albion pertengahan minggu lalu, membawa padah.
Namun, Mancini bertindak demikian dengan tujuan agar pemainnya cergas untuk aksi menentang Chelsea, dengan rakan pengurus senegara, Carlo Ancelotti, sentiasa bermain difikirannya.
"Saya tidak menyesal membuat pertukaran pemain. Saya mengalami masalah besar ketika itu, saya tidak mahu mengambil sebarang risiko.
''Jika saya mempunyai lebih ramai pemain, mungkin pasukan yang saya turunkan, berbeza.
"Kami akan menentang Chelsea dengan hanya mempunyai 12 atau 13 pemain. Masa untuk pemain pulih terlalu singkat. Kami memerlukan maksimum tiga hari.
"Perlawanan ini penting, namun jika tidak ramai pemain yang cedera, saya pasti meletakkan pasukan yang kuat ketika menentang West Brom,'' kata Mancini.
City di tangga keempat liga, tujuh mata di belakang pendahulu, Chelsea.
Skuad itu berdepan kecederaan pemain termasuk Joleon Lescott, Micah Richards, Wayne Bridge, Mario Balotelli, Jerome Boateng dan Aleksandr Kolarov.
Chelsea juga mengalami masalah kecederaan, selepas aksi Piala Liga pertengahan minggu, di mana mereka kalah kepada Newcastle United di Stamford Bridge.
Yossi Benayoun dan Salomon Kalou, John Terry dan Nicolas Anelka, pemain utama yang diturunkan ketika menentang Newcastle, cedera ketika mereka kalah 3-4.
Gandingan pemain tersebut bersama Gael Kakuta, akan terlepas aksi menentang City, aksi Liga Juara-Juara menentang Marseille, juga kemungkinan menentang Arsenal, Ahad depan.
Juga wujud kebimbangan mengenai ketua pasukan, Terry yang menjadi mangsa dibentes lawan selepas dia hanya beraksi 45 minit terakhir.
Namun, Ancelotti berkata, pertahanan England itu akan cergas dan bersedia untuk berdepan Manchester City.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment