Hasrat pelakon dikebumi bersebelahan pusara ibu juga dilaksana
KUALA LUMPUR: Isteri kedua pelakon M Rajoli, Wan Chik Daud bersyukur kerana hasrat Allahyarham untuk meninggal dunia pada hari Jumaat termakbul. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang pada jam 10.45 malam kelmarin.
“Saya diberitahu Allahyarham juga mahu dikebumikan bersebelahan dengan kubur arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2 Ramadan tahun lalu dan hal itu juga dipenuhi keluarganya. Saya bersyukur akhirnya dia dijemput Penciptanya kerana memang itu kehendaknya.
“Dulu dia pernah berkata akan menjadi insan yang paling bahagia jika nyawanya dicabut Tuhan pada usia 63 tahun seperti mana usia wafatnya Nabi Muhamad SAW. Memang sudah lama dia bersedia bertemu dengan Tuhan dan persoalan mengenai akhirat sentiasa meniti dibibirnya,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.
Bekas pembaca berita RTM itu berkata, beliau juga diberitahu saat Allahyarham sedang nazak, mulutnya tidak pernah lekang menyebut kalimah suci.
“Allahyarham sangat ceria orangnya. Dia sangat kasih kepada Allah dan Rasul. Dia berlakon pun atas tiket berdakwah dan mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Dia juga tak nak saya berkahwin lagi. Dialah pemimpin, kawan dan tempat mengadu saya selama ini. Dia tiada tolok bandingnya,” katanya.
Menurut Wan Chik lagi, dia tidak mahu mengeruhkan ‘sengketa’ di antaranya dan keluarga isteri pertama yang pernah dilaporkan media sebelum ini. Wan Chik juga mengiyakan bahawa dirinya masih lagi isteri kedua kepada Allahyarham.
Katanya, dia hanya dapat tahu mengenai berita nazak Allahyarham daripada pelakon Kartina Aziz dan jiran yang menghubungi.
Mengenai ketiadaannya pada majlis pengebumian itu, Wan Chik berkata tiada guna jika hanya dapat menjenguk mayat suaminya yang sudah terkujur kaku.
“Sudah setahun setengah saya tidak bertemu dengan suami sepanjang hayatnya masih ada. Jadi kalau alang-alang nak tengok, lebih baik saya dapat melihatnya ketika masih bernyawa. Saya rasa tak perlu untuk saya bertemu dalam keadaan begini.
“Sekalipun kami tak dapat bersua di dunia, harapnya kami dapat bertemu kembali di akhirat. Saya hanya mampu pasrah dan reda dengan ketentuan ini. Sebagai hamba-Nya, saya hanya mampu menghadiahkan bacaan Yasin dan ayat suci kalamullah kepada Allahyarham.
“Saya amat merinduinya dan yakin Allahyarham juga melalui perkara yang sama. Tiada guna ke sana (tanah perkuburan) hanya kerana mahu berdepan dengan orang ramai dan menangis sedangkan Allahyarham sudah tiada di muka bumi,” kata Wan Chik.
Dibantu alat pernafasan
KUALA LUMPUR: “Walaupun sebak dan sedih selepas pemergiannya, saya reda, lebih-lebih lagi selepas melihatnya seakan-akan tersenyum ketika dimasukkan ke dalam liang lahad,” kata Muhd Ariff, 23, anak bongsu kepada pelakon dan pelawak terkenal, M Rajoli atau nama penuhnya, Mohd Rajoli Mohamed Zin.
Menurut Ariff, keadaan arwah kritikal ketika dimasukkan ke dalam wad dan terpaksa bertarung nyawa akibat penyakit barah saraf otak atau Lymphoma.
“Dua hari sebelum itu keadaannya stabil, cuma kurang bercakap. Namun tiba-tiba keadaannya berubah dan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana sukar bernafas. Bagaimanapun, arwah terpaksa bertarung nyawa selepas hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
“Saya masih ingat pesanan arwah ayah. Sebelum pemergiannya, dia meminta saya menjaga emak dan mengharapkan adik-beradik tidak bergaduh sesama sendiri.
“Arwah juga pernah berkata jika ajal menjemputnya, dia meminta jasadnya segera dikebumikan tanpa perlu ditangguh,” katanya.
Pelakon berasal daripada Pasir Mas, Kelantan, itu meninggalkan dua balu iaitu isteri pertama Hashimah Mohd Din, 56, dan isteri kedua, bekas pembaca berita RTM, Wan Chik Daud, 70.
Hasil perkongsian hidup bersama Hashimah selama 36 tahun mereka dikurniakan empat anak iaitu Siti Zaleha, 34, Nur Mohamad, 33, Siti Nazirah, 28 dan Muhd Ariff.
Sebelum kematiannya, arwah dikatakan mengalami krisis dengan isteri keduanya. Bagaimanapun, Wan Chik yang dihubungi semalam berkata dia sudah lama memaafkan suaminya.
“Walau apa pun terjadi, saya tetap sayangkan dia. Kini, dia sudah pergi menghadap Ilahi dan saya mendoakan dia ditempatkan di kalangan orang beriman.
“Saya tidak akan melupakan segala kenangan antara kami. Semuanya akan saya ingat sehingga akhir nyawa,” katanya sebak.
Pengebumian arwah turut dihadiri beberapa kenalan artis antaranya Rosyam Nor, Puan Sri Ziela Jalil, Harun Salim Bachik, Sabri Yunus, Ezany dan Arash Mohd.
Rosyam berkata, dunia seni kehilangan bakat besar selepas pemergian arwah kerana bakat dan ilmu dimiliki Allahyarham tidak dapat ditandingi.
“Saya menganggapnya seperti ayah sendiri. Selain mendapatkan tunjuk ajar daripada segi lakonan, arwah menjadi tempat rujukan dalam bidang agama.
“Saya masih ingat pesanan terakhirnya pada saya tidak lama dulu iaitu jangan lupa membayar zakat. Insya-Allah, saya tidak akan melupakannya,” katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment