KEADAAN dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Bagan Lalang, Butterworth, semalam. |
Dua pemuda maut termasuk seorang daripadanya rentung setelah kenderaan yang mereka naiki bertembung sesama sendiri lalu terbakar di Jalan Bagan Lalang berdekatan depot kontena ICS Mak Mandin, di sini hari ini. Pemandu Perodua Viva, A. Mogan, 26, dari Taman Bagan Lalang Jaya meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah di kepala manakala pemandu Nissan Vanette, Lim Kui Thang, 25, rentung selepas kenderaannya terbakar.
Teman wanita Kui Thang, Loh Yuk Teng, 25, turut melecur dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supritendan Mohd Shukri Awang berkata, kemalangan berlaku pukul 6.45 pagi ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan untuk ke tempat kerja.
Menurutnya, Mogan keluar dari rumahnya di Taman Bagan Lalang Jaya untuk ke tempat kerja di Permatang Pauh manakala Kui Thang pula dari arah Permatang Pauh ke Butterworth untuk urusan perniagaan.
"Kenderaan yang mereka naiki bertembung menyebabkan van itu terbakar. Kejadian itu disedari oleh beberapa orang awam yang melalui jalan tersebut.
"Mereka membantu menarik mangsa keluar dari kenderaan yang terbakar namun disebabkan api marak hanya Yuk Teng berjaya diselamatkan," katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan untuk mengenal pasti punca kemalangan dan dalam masa sama mengharapkan orang ramai yang melihat kejadian itu tampil memberi maklumat mengenainya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment