Friday, October 1, 2010

Dia Fadila & Redza Sah Bergelar Suami Isteri


Dengan sekali lafaz, penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 26, sah bergelar isteri kepada Redza Hj Abdullah Sanusi, 33, dalam satu majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam dan Jurunikah masjid tersebut iaitu Al-Hafizan Ibrahim kira-kira pada pukul 9.45 pagi dengan disaksikan oleh ibu bapa, keluarga dan sahabat-handai kedua-dua mempelai.
Dia Fadila kelihatan anggun sementara suaminya tampak kacak apabila mengenakan persalinan berwarna krim rekaan Bill Keith.

Pada majlis itu, Dia Fadila menerima mas kahwin berupa senaskhah Al-Quran, sepasang telekung dan wang tunai sebanyak RM 2309.84 sebagai simbolik kepada tarikh hari lahir penyanyi itu.
Bagaimanapun, tiada pertukaran dulang hantaran dilakukan atas persetujuan kedua-dua belah keluarga pengantin yang lebih mengutamakan perkara-perkara wajib dalam majlis pernikahan sahaja.

Apabila ditanya tentang jumlah wang hantaran, ibu kepada penyanyi itu Azanah Abd Raof, 52, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar dan mengakui jumlah tersebut dipersetujui oleh kedua-dua belah keluarga.



Menurut Dia Fadila yang juga pensyarah vokal di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), majlis pernikahan ini cukup istimewa kerana ia diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-33.

"Majlis pernikahan ini istimewa buat saya kerana tarikh hari ini adalah hari ulang tahun kelahiran suami yang ke-33 dan kami sengaja pilih tarikh ini supaya ia akan jadi satu kenangan yang manis buat kami.

"Redza menjadi pilihan saya kerana ciri-ciri dirinya yang sempurna dalam segala aspek. Sebagai isteri, saya yakin dia seorang lelaki yang bertanggungjawab dan mampu untuk memimpin bahtera perkahwinan kami dengan baik, insya-Allah," katanya.

Dia Fadila yang mengakui gembira dan bersyukur kerana telah bergelar isteri, bagaimanapun masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk berbulan madu dalam masa terdekat.

"Selepas bertunang sejak Mac lalu, kami tidak mahu bercinta terlalu lama dan memutuskan untuk berkahwin secepat mungkin. Saya bersyukur dan gembira kerana tempoh perhubungan kami yang agak pendek ini berakhir dengan satu ikatan yang sah.
"Saya akan terus mengajar dan menyanyi selepas ini seperti biasa kerana suami tiada sebarang halangan.

Tentang berbulan madu, memang kami ada pilih beberapa destinasi tapi yang pasti bukan dalam masa terdekat sebab kami sedang sibuk dengan komitmen tugas masing-masing," katanya yang merancang berbulan madu tahun depan.

Bermula sebagai kenalan biasa, pasangan ini menjadi semakin intim sejak November 2009. Atas keserasian itu, mereka memutuskan untuk bertunang Mac lalu dan hanya mengambil masa sekitar enam bulan sebelum melangkah ke jinjang perkahwinan, hari ini.

Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan di Dewan Siti Hasmah (Rumah Puspanita), Jalan Wisma Putra, Kuala Lumpur pada 3 Oktober pukul 8 malam. Selepas berkahwin, Dia Fadila dijangka akan berpindah mengikut suaminya ke Bukit Damansara, Kuala Lumpur.


P/S - Tahniah.. Lulu senang hati bila ramai membina 'masjid'..Rasanya lepas ni lagi ramai..terutama angkasawan kita yg selalu heboh mengenai persiapan perkahwinannya..Tahniah semua.. Diharap lepas ni jgn pula kita dikhabarkan mengenai perceraian demi perceraian artis pula....huh........







 

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!