DIA menitiskan air mata terharu saat sah bergelar isteri Redza. |
SEBELUM ini beberapa orang selebriti seperti Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Sharifah Sofia Syed Hussein, Deja Moss dan Aleeza Kassim telah memilih untuk bernikah di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Pada Jumaat lalu, turut membuat pilihan yang sama ialah penyanyi yang popular dengan lagu Andai dan Aku Masih Setia, Dia Fadila yang telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Redza Abdullah Sanusi di masjid tersebut.
Dia Fadila atau nama sebenarnya Nur Nadia Fadila Abu Bakar, 26, selamat bernikah dengan Redza, 33. Dengan sekali lafaz, Dia yang dinikahkan oleh Imam dan Jurunikah Masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Hafizan Ibrahim, berwalikan bapanya, Abu Bakar Sudin sah menjadi isteri kepada Redza yang merupakan pengurus pengiklanan kira-kira pukul 9.45 pagi.
Menurut Redza yang juga anak kepada bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Allahyarham Tan Sri Dr. Abdullah Sanusi Ahmad, dia mengambil keputusan untuk tidak mahu menunggu lebih lama selepas bergelar kekasih kepada Dia Fadila kerana bimbang tidak dapat menjadikan Dia sebagai suri hidupnya.
“Kalau saya tidak mengambil keputusan yang drastik itu mungkin saya akan terlepas peluang menjadikan Dia sebagai isteri,” ujarnya.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 70 tetamu termasuk ahli keluarga kedua-dua belah pihak itu, pasangan tersebut bersepakat menggantikan hantaran mereka kepada cenderahati. Sebanyak lima cenderahati untuk pengantin lelaki dan lima cenderahati juga buat pengantin perempuan. Manakala, mas kahwin kepada Dia pula merupakan senaskhah al-Quran, telekung dan wang berjumlah RM2,309.84.
DIA tidak ketinggalan mengalunkan vokalnya pada majlis resepsi perkahwinannya Ahad lepas. |
Menurut Dia yang mula mengenali Redza sejak dua tahun lalu, hatinya terpaut dengan Redza kerana beranggapan lelaki tersebut amat sempurna untuknya.
“Saya sukakan suami kerana dia bertanggungjawab dan memahami,” katanya yang mula menjalin cinta dengan Redza sejak November lalu.
Pasangan ini bagaimanapun belum merancang destinasi bulan madu dan bilangan cahaya mata yang bakal di peroleh.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment