Wednesday, October 6, 2010

Hentikan kisah tidak benar




RIAK wajah dan bahasa tubuhnya sudah cukup menggambarkan dia sedang menjalani kehidupan yang benar-benar menjadikannya seorang wanita sempurna.
Senyuman dan ketawa yang tidak lekang dari wajah mulusnya itu membuktikan pelakon kulit gebu, Zizie Ezette, 32, cukup bahagia dengan statusnya sebagai seorang isteri.
Meskipun pernikahannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, 51, telah mencetuskan perdebatan dan polemik, Zizie enggan ambil pusing tentang perkara itu.
Cuma, Zizie memohon kepada semua pihak agar untuk hentikan menyebar berita yang kurang manis berhubung rumah tangganya kerana tidak mahu ada pihak yang terluka lagi.
Aktres popular itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang mengatakan dia kini satu-satunya isteri Bung Mokhtar selepas wakil rakyat itu dikatakan telah menceraikan isteri pertamanya.
"Cukup-cukuplah memperkatakan dan mensensasikan kisah rumah tangga kami. Jujurnya, keadaan semuanya telah dan berjalan dengan baik sekali. Saya tidak mahu cerita sebegini akan mengeruhkan kembali keadaan.
"Jika ada yang berterusan mahukan komen saya lagi selepas ini tentang madu saya, minta maaf kerana saya tidak akan menjawabnya. Saya perlu menjaga hati banyak pihak. Apa yang boleh saya katakan, semuanya dalam keadaan yang baik," katanya berkali-kali lalu mematikan terus topik hangat itu.
Zizie berkata demikian ketika ditemui pada malis rumah terbukanya yang diadakan di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor, malam Sabtu lalu.
Kehadiran dua orang anak Bung Mokhtar pada majlis itu sekali gus membuktikan mereka memang tidak mempunyai sebarang masalah apabila masing-masing begitu mesra antara satu sama lain.
Apabila diminta untuk bergambar bersama, Zizie dengan penuh diplomasi menolaknya dengan mengatakan biarlah dia dan suaminya sahaja yang menjadi titik tumpuan pada malam itu.
Bagi Zizie, apa yang penting buatnya kini adalah untuk meneruskan perjalanan hidupnya bersama suami tercinta yang benar-benar membuatkannya bersyukur dengan kurniaan Yang Maha Esa.
"Alhamdulillah, selepas 10 bulan mendirikan rumah tangga, terasa hidup saya begitu lengkap dengan adanya seorang suami di sisi. Tidak pernah saya membayangkan kebahagiaan yang saya kecapi seperti hari ini.
"Saya harus akui kehidupan saya sekarang memang sudah jauh berbeza ketika saya bujang dulu. Sekarang saya harus menumpukan fokus kepada suami dan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa buat masa ini," luah Zizie jujur.
Kekok
Menyambung bicara, Zizie atau nama sebenarnya, Zizie Ezette Abd. Samad ini memberitahu kesibukannya sebagai seorang isteri membuatkannya jarang berada di ibu negara.
Ini kerana katanya, setiap dua minggu dia akan menemani suaminya pulang ke Sabah selama dua minggu.
Dua minggu lalu dihabiskan di Kuala Lumpur.
Zizie juga mengakui di awal perkahwinannya dia agak kekok dengan perubahan hidupnya terutama apabila melihat skop kerja suaminya sebagai seorang wakil rakyat.
"Sepanjang hidup saya, tidak pernah saya tahu rangkuman kerja seorang wakil rakyat itu dan saya pun memang tidak pernah ambil tahu sebelum ini.
"Namun, selepas bernikah dan memerhatikan kerja suami saya, barulah saya tahu kesibukan seorang wakil rakyat itu. Skop kerja mereka tidak ubah seperti seorang selebriti yang perlu bertemu dengan masyarakat hampir setiap hari.
"Secara tidak langsung, dunia kami berdua memang tidak banyak bezanya. Saya bersyukur dalam kesibukannya itu, dia tetap menjaga dan melayan saya dengan baik lalu membuktikan dia seorang suami yang bertanggungjawab," ujar aktres yang mula menempa nama menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir ini bersungguh.
Rezeki
Bukan hendak meninggi diri atau mahu menggambarkan perkahwinannya adalah sempurna, tetapi bagi Zizie, suaminya itu seorang yang cukup baik dan menjalankan tugasnya sebagai suami dengan penuh dedikasi.
Mengenai cahaya mata pula, kakak kepada aktor Shaheizy Sam ini memang sudah benar-benar bersedia untuk bergelar seorang ibu.
"Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah untuk mengurniakan rezeki kepada kami berdua," katanya sambil menafikan dirinya kini sudah berbadan dua.
Pada majlis itu, Zizie memang menarik perhatian ramai terutama pihak media yang kagum dengan penampilannya yang semakin langsing.
Zizie hanya ketawa besar apabila ada seorang wakil media mengusiknya dengan mengatakan dia kurus kerana melakukan penyedutan lemak.
"Saya tidak akan buat perkara-perkara yang membahayakan itu. Saya kini banyak mengikuti kelas senaman dan aktiviti lasak seperti latihan angkat berat, kickboxing dan hot yoga.
"Hasilnya, saya kini menghampiri berat badan ideal saya iaitu 55 kilogram. Berbanding ketika berkahwin, berat badan saya mencecah 65 kilogram sehingga semua baju saya tidak muat lagi. Kerana itu, saya berazam untuk menguruskan badan," katanya optimis.


P/S - Lagi cerita mengenai Bung dan Zizie [klik]






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!