Sunday, October 10, 2010

Tetap rapat selepas berpisah

Nora Danish akui selesa berkawan baik dengan Jejai tanpa lagi ikatan suami isteri

HATINYA tidak pernah terusik jika bekas suaminya berkahwin terlebih dulu, malah pelakon yang digelar `hot mama', Nora Danish, 28, sudah lama menerima hakikat perpisahan mereka.

Walaupun apa yang berlaku dulu cukup menyeksakan hidupnya, pelakon utama filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cuti Cuti Cinta tidak lagi ambil pusing mengenainya, malah terserahlah pada bekas suami, Rizal Ashram Ramli untuk menentukan siapa gadis pilihan hati. Sama ada pilihannya ialah pelakon, Fasha Sandha atau gadis lain, itu hak Rizal atau lebih dikenali dengan Jejai.
Mengenai dirinya, Nora akui belum bertemu dengan jejaka yang mampu membuka pintu hatinya. Bukan tidak berkawan, malah dirinya punya ramai teman lelaki, tetapi mereka sekadar kawan, tiada hubungan istimewa.

Semakin seksi dan jelita, Nora berkata: "Bohonglah kalau saya katakan saya tidak mahu berkahwin lagi, tetapi jodoh nampaknya belum sampai. Selain melayan kerenah anak, Putera Rayqal Rizal Ashram yang sedang membesar, saya juga kembali sibuk di lokasi penggambaran filem dan drama.

"Saya tidak kisah jika Jejai berkahwin dulu, malah saya sentiasa mendoakan kebahagiaannya. Hubungan kami jadi semakin rapat apabila berpisah. Saya selesa berkawan baik tanpa ada apa-apa ikatan dengan Jejai. Saya lebih mengenali `true colour' Jejai apabila kami berpisah.

"Kami sudah lama terima hakikat antara kami memang tiada jodoh. Usahlah diungkit perkara silam, yang berlaku sudah pun berlalu. Jadi, biarlah kami berkawan baik demi Rayqal. Bagaimanapun, saya mengharapkan Jejai memilih gadis yang sesuai dan paling penting, bakal isterinya dapat menerima Rayqal dengan ikhlas. Jika membenci saya, bagaimana nak terima anak kami?
"Jujurnya, saya memang tiada apa-apa perasaan lagi terhadapnya. Semua kenangan sudah lama saya padamkan dalam diari hidup ini. Apa yang lebih penting, kami tidak mengabaikan tanggungjawab dan memisahkan kasih sayang Rayqal. Anak adalah nyawa kami."

Di sebalik itu, Nora berkata jika bertemu jodoh dalam masa yang terdekat, dirinya tidak mungkin menolak. Dia juga seperti wanita lain mahu berkongsi kasih sayang dan kebahagiaan hakiki dengan lelaki yang bernama suami, apatah lagi usia sudah menginjak 28 tahun.

Tanpa berselindung, Nora akui: "Saya tidak pernah serik mahu berkahwin lagi, malah saya terima jika ada lelaki yang mampu membuka pintu hati saya yang terkunci ini. Apa yang berlaku dulu cukup membuatkan saya tabah dan matang dalam menempuh kehidupan.

"Saya tidak pernah kesal, jauh sekali menyesal apabila bergelar ibu tunggal dalam usia yang muda. Hakikatnya, itulah suratan takdir buat diri saya. Cuma, saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Saya akui sudah lama melangkah dari kehidupan lalu, malah sejak bercerai, saya sudah punya haluan hidup baru.

"Bagaimanapun, saya mahu lebih berhati-hati jika memasuki alam perkahwinan buat kali kedua. Dulu, saya berkahwin atas dasar cinta dan tidak sempat mengenali Jejai dengan lebih rapat apabila kami membuat keputusan untuk berkahwin cepat. Tapi kali ini, saya mahu mengenali pasangan hidup dengan lebih mendalam.

"Saya mahu membuat pilihan yang tepat. Tidak dinafikan ramai lelaki datang menghimpit, tetapi belum ada yang sesuai. Saya tidak mahu berkahwin kerana tekanan. Jika Jejai mahu berkahwin dulu, biarlah. Saya masih lagi mencari dan tidak pernah terdesak untuk berkahwin lain."

Akuinya, dia tidak rasa pernah sunyi walaupun hakikatnya tidak bertemankan seorang suami. Kehidupan sehariannya sentiasa sibuk dengan anak dan kerjaya lakonan yang semakin menjadi-jadi.

"Saya bersyukur memiliki keluarga yang sentiasa memberi semangat, malah bekas ibu bapa mentua dan ipar duai sentiasa mengambil berat mengenai saya dan Rayqal. Saya tidak sempat nak rasa sunyi kerana ada saja aktiviti yang dilakukan. Jika tidak sibuk di lokasi penggambaran, saya sibuk menjaga Rayqal.

"Sudah menjadi kemestian saya akan menghantar Rayqal di rumah datuk dan neneknya setiap hari. Mereka akan kesunyian jika Rayqal tiada. Jika saya sibuk, mereka sendiri akan datang menjemput cucunya.

"Hubungan Rayqal dengan Jejai memang rapat, malah setiap kali melihat Jejai, Rayqal akan mengucapkan kata `sayang daddy' sambil membelai wajah Jejai banyak kali. Kami sentiasa tergelak melihat keletah Rayqal yang kini sudah pandai bercakap.

“Keluarga Jejai terutama ibu bapanya tidak boleh berpisah langsung dengan Rayqal. Mereka seronok melayan Rayqal yang semakin bijak dan aktif," katanya yang kini terpaksa berpisah dengan Rayqal kerana terbabit dengan penggambaran drama bersiri, Putera Katak arahan Adam Hamid di Kuala Terengganu selama enam hari.

Menyentuh mengenai kerjayanya, Nora berkata dia kembali berlakon filem selepas sekian lama tidak muncul di layar perak. Kali terakhir lakonanya dalam filem Gila-Gila Pengantin Popular dan Senario - Pemburu Emas Yamashita kira-kira enam tahun lalu.

"Diam tak diam sudah hampir 10 tahun saya menikmati hidup sebagai anak seni. Saya memulakan kerjaya sebagai model ketika berusia 18 tahun dan detik permulaan sebagai pelakon dalam drama bersiri Puteri selama lima musim.

"Saya akui dulu saya tidak banyak ruang untuk bekerja dengan pengarah lain, melainkan Aziz M Osman kerana terikat dengan drama Puteri dalam jangka masa yang panjang. Selepas berkahwin pula, saya terpaksa mengurangkan aktiviti seni kerana menumpukan perhatian pada rumah tangga. Kini, saya baru terasa dapat menikmati hidup sebagai anak seni apabila kembali aktif, itupun selepas Rayqal semakin membesar,” katanya.

Penat berlakon babak dirasuk

MENGULAS lakonannya dalam filem terbaru, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (JPBC2) yang kini sedang ditayangkan dan seelpas ini pula bakal muncul menerusi filem Cuti Cuti Cinta arahan Ahmad Idham terbitan MIG Production Sdn Bhd, Nora Danish akui seronok berlakon bersama anggota Senario.

“Dua filem itu memberi pengertian buat kerjaya saya. Dua genre yang berbeza, tetapi saya seronok melakonkannya. Dalam filem JPBC2, saya bergandingan dengan Mazlan Pet Pet, Azlee Jaafar, Cat Farish dan Lisa Surihani.

"Mungkin orang lain sukar nak mengikut rentak Mazlan dan Azlee yang dianggap agresif, tetapi saya sudah punya pengalaman bekerja dengan mereka ketika filem Senario - Pemburu Emas Yamashita. Mereka bukan saja berbakat besar, malah layak dianggap penghibur. Ketika pelakon lain semakin layu dek kepenatan sehingga jauh pagi berada di lokasi penggambaran, mereka pula sebaliknya sentiasa menceriakan keadaan.

"Bagaimanapun, saya agak kepenatan apabila melakonkan babak kena rasuk. Saya tidak pernah kena rasuk, jadi saya terpaksa melakukan kajian dalam filem-filem barat, cuma bezanya ia dilakonkan dengan genre komedi. Untuk melaksanakan babak ini, solekan saja mengambil masa hampir dua jam. Saya hampir hilang suara kerana babak rasuk memerlukan suara serak. Ketika proses memasukkan suara, saya hilang suara sekali lagi," katanya.

Selain Nora, Mazlan, Azlee, Lisa Surihani dan Cat Farish, filem JPBC2 yang menemui penonton di pawagam pada 7 Oktober lalu turut menampilkan Bob Kuman, Pie, Ruminah Sidek dan Ebby Yus.

Ia mengisahkan usaha Pak Mor (Azlee) dan Mustika (Lisa) yang cuba membolot harta dan saka peninggalan Pak Sudir (Pie) daripada Punai (Mazlan) serta Asmat (Cat) hingga mendorong mereka menggunakan ilmu hitam. Punai dan Asmat mendapatkan bantuan Wak Ketari (Bob Kuman) bagi menghalang cubaan jahat dan pada masa sama mereka menyimpan perasaan terhadap anak gadis guru mereka, Seha (Nora).






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!