Monday, November 15, 2010

Dua sahabat maut digilis kereta api


Nahas selepas minum di restoran dekat rumah

KULAI JAYA: Dua sahabat karib maut dalam keadaan mengerikan apabila kepala, tangan dan kaki putus selepas digilis kereta api di Kilometer 733.5, Landasan Kereta Api Johor Bahru-Senai berhampiran Kampung Maju Jaya di sini, tengah malam kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika mangsa, Johari Jumbery, 31, dan Mohamad Syahril Basseri, 18, dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing, dan dirempuh kereta api dari arah selatan ke utara ketika mereka melintas landasan berkenaan.

Difahamkan, dua sahabat terbabit baru pulang dari minum di sebuah restoran berhampiran rumah mereka di Kampung Sri Maju, Senai.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata sejurus menerima laporan, pihaknya bergegas ke lokasi kemalangan dan mendapati kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal anggota dan pegawai yang dikerah ke tempat kejadian mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan tidak sempurna namun identiti kedua-dua mayat dapat dikenal pasti.

“Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengetahui punca sebenar kejadian. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Pengurus Kanan Bahagian Komunikasi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Mohd Fazil Ismail, ketika dihubungi berkata kereta api Senandung Ekspres Mutiara dari Singapura ke Kuala Lumpur bertolak dari Stesen Kempas, jam 12.18 tengah malam.

Katanya, KTMB melaporkan kejadian di Balai Polis Kulai jam 12.55 tengah malam, dan berikutan kejadian itu, perkhidmatan kereta api terbabit mengalami kelewatan selama sejam.

Sementara itu, bapa saudara kepada Mohamad Syahril, Mohd Yusof Ismail, 40, ketika ditemui berkata walaupun sedih melihat keadaan mayat anak saudaranya, dia tetap menguatkan hati apabila turut mengumpul cebisan mayat mangsa dan dapat mengecam mayat anak saudaranya berpandukan susuk tubuh badannya yang kurus.

“Mohamad Syahril keluar dari rumah saya kira-kira jam 8 malam kerana mahu berjumpa rakan sekerja yang tinggal berhampiran. Kira-kira jam 1 pagi anak saya memberitahu ada ramai polis di belakang rumah sebelum seorang anggota polis datang sambil menunjukkan kad pengenalan milik Mohamad Syahril.

“Saya sedih dan pasrah apabila terlihat keadaan mayatnya... tangan dan kakinya terputus manakala sebahagian tempurung kepalanya pecah,” katanya.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!