Monday, November 1, 2010

Gara-gara lagu patriotik


LAGU-Lagu berunsur patriotik dan Roy bagaikan irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Sejak tahun 1992 sehingga kini, penyanyi bersuara jantan itu sering menghiasi kaca TV mendendangkan lagu-lagu sedemikian.
Ketika itu lagu Sejahtera Malaysia memang cukup sinonim dengan penonton TV kerana ia bukan sahaja menjadi permulaan dan penutup RTM, malah kanak-kanak berusia empat tahun pun hafal lirik lagu berkenaan.
Kekerapan Roy atau nama sebenarnya Mohammed Rauzan Alwi, 46, menjadi pilihan menyanyikan lagu berkenaan membuatkan ada yang cemburu kehebatannya itu.
Betapa tidak, ketika itu apa juga lagu-lagu berunsur patriotik, penyanyinya mesti Roy.
Malaysiaku Gemilang, Perpaduan Teras Kejayaan, Wawasan 2020, Jaya Diri, Satu Malaysia dan banyak lagi, pilihannya tetap Roy.
Kelebihan ini walaupun dicemburui segelintir penyanyi lain namun ia mempunyai cerita tersendiri buat diri Roy.
"Sebagai penyanyi yang diberi keistimewaan menyanyikan lagu-lagu demikian saya rasa cukup bertuah. Tetapi di sebaliknya, saya terkilan dengan sikap mereka yang berfikiran sempit.
"Saya tidak pernah melabelkan diri saya sebagai penyanyi lagu-lagu patriotik tetapi disebabkan sering menyanyikan lagu-lagu begitu, peluang saya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni terhenti.
"Kontrak saya dengan syarikat rekod ditamatkan kerana mereka melabelkan saya sebagai penyanyi lagu-lagu patriotik dan album saya dikatakan tidak boleh dijual," cerita Roy ketika ditemui baru-baru ini.
Roy, bekas penuntut bidang kejuruteraan memulakan kerjayanya dalam bidang seni sebagai artis rakaman Luncai Emas dengan album pertamanya bertajuk Roy Nekad.
Album yang diterbitkan pada tahun 1991 dengan lagu popular Diari Mimpi telah melonjakkan nama Roy sebagai penyanyi pujaan ketika itu.
Kejayaan album tersebut membuatkan Roy tidak menang tangan memenuhi undangan menyanyi apalagi setelah album keduanya diterbitkan dan diedarkan oleh EMI.
Album yang diterbitkan pada tahun 1993 dengan tajuk dan lagu hitsnya Kau Ratnaku yang diharapkan dapat meneruskan perjalanan seninya rupa-rupanya tidak banyak membantu.
Walaupun Kau Ratnaku sering diputar di corong radio dan berjaya mencuri hati para peminatnya namun ia tidak membantu daripada segi jualan.
Semuanya gara-gara ketika album keduanya diedarkan, Roy ketika itu sudah dicop sebagai penyanyi lagu patriotik!
"Apabila semua itu terjadi saya tidak menyesal cuma terkilan dan tertanya-tanya, salahkah saya menyanyikan lagu-lagu berunsur patriotik?
"Bagi saya, apa yang saya lakukan sebagai sumbangan kepada negara. Walaupun ada yang melabelkan saya begitu tetapi saya bangga dapat memberikan sesuatu kepada negara.
"Betapa tidak ketika itu selain saya dipanggil Roy Ratnaku, kanak-kanak juga mengenali saya sebagai penyanyi Sejahtera Malaysia," luah Roy lagi.
Menurut Roy, walaupun kontraknya ditamatkan kerana albumnya didakwa tidak boleh dijual, Roy pernah juga mendapat undangan mengadakan dinner show di hotel.
Tertutup rapat
Ketika itu, tanpa disedari ada seorang promoter berketurunan Cina begitu tertarik dengan suara Roy dan menawarkan diri untuk mempromosikan Roy dalam apa juga dinner show yang dikendalikannya nanti.
"Tawaran lelaki itu begitu menyentuh hati saya kerana dia menghargai bakat saya. Namun saya menolak dengan alasan ia tidak semudah yang disangkakan sebab saya jelaskan padanya saya sudah dicop sebagai penyanyi lagu patriotik.
"Mulanya dia tidak percaya kerana dia menganggap saya cukup hebat. Tetapi setelah beberapa bulan dia mencuba, akhirnya dia datang berjumpa saya dan mengakui memang sukar memasarkan saya," kata Roy sambil ketawa.
Roy, akhirnya terpaksa menerima hakikat peluang untuknya menyanyi dalam mana-mana show sudah tertutup rapat kerana label yang diberikan kepadanya.
Demi memenuhi tuntutan hidup untuk menyara keluarga, suami kepada Haslinda Abdul Rahman, 45, dan ayah kepada Muhammad Ridhuan,22, Mohammad Rashiddan,16, dan Siti Aishah,13, Roy menjalankan perniagaan sendiri.
Di bawah syarikat miliknya Rauzan Enterprise, Roy menjalankan perniagaan di kantin Sekolah Kebangsaan Banting.
Bersandarkan suara jantannya, Roy juga dipilih menjadi penyanyi utama Orkestra Universiti Malaya dibawah pimpinan Prof. Dr. Naser sejak tiga tahun lalu.
Selalunya setiap kali ada show yang diterajui Orkestra Universiti Malaya , Roy akan menyumbangkan suaranya menyanyikan lagu-lagu klasik penyanyi terkenal antarabangsa antaranya Pavarotti selain lagu-lagu Bubble dan Bee Gees.
Bukan itu sahaja, malah Roy juga diberi kepercayaan menjadi pensyarah sambilan Koir Ko-Kurikulum di universiti berkenaan.
Roy juga diberi peluang membimbing koir Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia sebagai persediaan mereka menyertai satu pertandingan pada 21 Oktober lalu.
Roy yang pernah menjadi penyanyi kumpulan Lefthanded sebelum kumpulan itu muncul dengan album pertamanya bersama Nash, berkata;
"Walaupun kerana dilabelkan sebagai penyanyi lagu-lagu patriotik peluang untuk menjadi penyanyi tersekat, saya bangga kerana bakat dan kebolehan saya dihargai oleh pihak universiti.
"Tiada apa yang lebih membanggakan saya sebagai seorang penyanyi, apabila bakat dan kebolehan saya diterima oleh mereka."
Kini bukan sahaja syarikat rakaman tidak mahu menerbitkan album Roy, malah peluangnya untuk muncul dalam mana-mana rancangan hiburan terbitan stesyen TV juga tidak pernah ada.
Meskipun tidak dinafikan Roy masih ada peminat namun apalah daya Roy, hanya seorang penyanyi yang mempunyai bakat tetapi tidak dipandang sebelah mata oleh stesyen TV.
"Dalam usia saya hampir setengah abad, saya malas memikirkan itu semua. Bagi saya biarlah Allah SWT menentukan perjalanan hidup saya.
"Dengan tulang empat kerat yang ada, syarikat yang dikendali oleh saya dan isteri, insya-Allah saya mampu menampung keluarga dan amat bersyukur kerana masih ada yang menghargai bakat saya," kata Roy sambil tersenyum sinis.





.

3 Penyokong CHELSEA:

Paul Hassan on June 28, 2011 at 12:38 AM said...

nice post saya minat roy :)

Paul Hassan on June 28, 2011 at 12:39 AM said...

nice post saya minat roy :)

NaJwa on June 19, 2012 at 2:32 AM said...

PEMINAT ROY? ROY NAK JUAL KOLEKSI KERETA KESAYANGANNYA SATRIA NEO CPS HITAM HIGH SPEC.BERMINAT ?

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!