Monday, November 1, 2010

Maut depan adik

Wanita tak sangka mangsa kakak, bapa saudara

KOTA KINABALU: Seorang wanita tidak menyangka dua mangsa maut dalam kemalangan jalan raya yang disaksikannya sendiri di Kilometer 11, Jalan Lintas Kota Kinabalu di sini, malam kelmarin adalah kakak dan bapa saudaranya.

Kakitangan kerajaan, Maria Chin, 35, berkata dia hanya menyedari mangsa adalah kakaknya, Elizabeth, 43, dan bapa saudaranya, Thmothy Chin Siew Min, 62, selepas dihubungi suami kakaknya.
“Ketika kejadian, saya dan beberapa anggota keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Kolombong, dekat sini, kira-kira jam 7.30 malam dan saya sempat memberhentikan kenderaan selepas melihat satu kemalangan.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka kemalangan itu membabitkan anggota keluarga dan saya meneruskan perjalanan pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di wad Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kini pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil yang dipandu Elizabeth membuat pusingan U, sebelum sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang menghala ke Kota Kinabalu merempuh tepi kereta terbabit, menyebabkan kenderaan itu terbabas serta tercampak ke dalam parit.
Beliau berkata, Thmothy maut di tempat kejadian manakala Elizabeth meninggal dunia ketika menerima rawatan di QEH. Anak Maria, Gregory Arthur, cedera ringan.

“Kereta Toyota Avanza itu kemudian melanggar pembahagi jalan dan terhumban ke dalam parit di kanan bahu jalan, menyebabkan pemandu dan penumpang bahagian depan parah manakala dua lagi penumpang cedera ringan serta menerima rawatan pesakit luar di QEH.

Sofi berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota KInabalu di 088-310273.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!