MAYAT penjenayah yang ditembak mati oleh anggota polis dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban semalam. |
SEREMBAN – Seorang penjenayah yang cuba meragut seorang wanita ditembak mati oleh polis ketika dia melarikan diri dan cuba melawan anggota polis yang mengejarnya di Kawasan Perusahaan Senawang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, lelaki yang berusia 32 tahun itu dikatakan cuba meragut seorang wanita yang menunggang motosikal seorang diri di satu persimpangan lampu isyarat di Senawang.
Bagaimanapun, tindakan suspek yang menunggang motosikal Yamaha RXZ itu disedari oleh dua anggota polis yang masing-masing menunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek yang menyedari tindakannya diperhatikan oleh dua anggota polis itu membatalkan niatnya untuk meragut dan terus memecut motosikalnya meninggalkan mangsa.
Menurut beliau, seorang anggota polis yang menunggang motosikal Modenas Kriss mengejar suspek sehingga ke Kawasan Perusahaan Senawang, kira-kira empat kilometer dari lokasi peragut itu dikesan.
“Ketika dikejar suspek beberapa kali cuba menendang motosikal anggota polis yang mengejarnya sebelum suspek kemudian berhentikan motosikalnya di tepi jalan dan melarikan diri ke satu kawasan berpaya di situ,” kata beliau di sini semalam.
Anggota polis itu juga turun dari motosikalnya dan mengejar suspek itu ke kawasan paya sambil mengarahkan lelaki itu menyerah diri.
“Namun, suspek terus cuba menyerang anggota polis itu dengan topi keledar sehingga menyebabkan tangan kiri anggota polis terbabit cedera,” kata Saiful.
“Melihat suspek semakin ganas, anggota itu melepaskan dua das tembakan amaran, tetapi tidak diendahkan menyebabkan satu das tembakan lagi dilepaskan yang terkena paha kiri mangsa.
“Bagaimanapun, kira-kira 15 minit kemudian, lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian menemui pisau selain peralatan menghisap dadah seperti jarum suntikan dalam beg suspek.
Katanya, siasatan mendapati motosikal Yamaha RXZ digunakan suspek dilaporkan hilang di Kuala Lumpur pada 2003.
“Lelaki itu juga mempunyai enam rekod kesalahan jenayah lampau membabitkan kes curi dan dadah,” katanya.
“Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.
Sepasukan anggota Unit Forensik turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6014999 atau balai polis berhampiran.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment