Berkelah di Lata Tembakah dengan 13 kawan
JERTIH: Seorang remaja berusia 18 tahun lemas selepas terjun ke dasar Air Terjun, Lata Tembakah, Hulu Besut sedalam lima meter untuk menyelamatkan rakannya yang terkapai-kapai ketika mandi di sini, kelmarin.
Ahmad Mustapha dari Kampung Kulim Hilir, Pasir Puteh, Kelantan, dikatakan terjun untuk menyelamatkan Salehuddin Ismail, 19, yang tergelincir kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Rakan mangsa, Mohd Zuhri Awang, 22, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa bersama 13 rakan berkonvoi dari kampung mereka pada jam 10 pagi ke kawasan perkelahan itu sempena cuti hujung minggu.
Katanya, ketika kejadian dia bersama rakan lain berada di atas batu dan tiba-tiba melihat Ahmad terjun untuk menyelamatkan Salehuddin ketika arus deras dan berpusar.
“Rakan lain yang melihat kejadian itu menyelamatkan Salehuddin, tetapi Ahmad hilang dibawa arus,” katanya.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Jertih, Wan Mud Wan Ibrahim, berkata pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 3 petang selepas dimaklumkan orang awam mengenai kejadian itu dan melancarkan gerakan mencari sejurus kemudian.
Katanya, anggota penyelam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menemui mayat mangsa kira-kira jam 3.45 petang di dasar kawasan air terjun.
Ibu mangsa, Zaharah Zakaria, 60, ketika ditemui di Hospital Besut (HB) berkata, Ahmad menunjukkan perubahan sikap ketara dengan menjadi seorang yang sangat periang sejak beberapa hari lalu.
"Bagaimanapun, dia tidak pernah memaklumkan kepada saya untuk datang berkelah di Lata Tembakah.
“Saya hanya mengetahui dia dijumpai lemas selepas dimaklumkan seorang rakannya yang turut serta dalam konvoi itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian akibat lemas.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment