Monday, November 22, 2010

Ancelotti minta pemain Chelsea bertenang


Carlo Ancelotti menggesa para pemainnya agar bertenang selepas menyaksikan Chelsea tumbang 0-1 kepada Birmingham kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan kedudukan mereka sebagai pendahulu Liga Perdana England kini dalam bahaya apabila pencabar terdekat, Manchester United sudah berjaya mengumpul jumlah 28 mata sama.
Chelsea masih menguasai takhta liga ketika ini tetapi cuma dibezakan menerusi perbezaan jaringan dengan United.

Ancelotti yang menyedari tekanan yang dihadapi anak-anak buahnya itu sudah mengeluarkan nasihat agar segera mengawal rasa kecewa dan melupakan apa yang telah berlaku.

"Kami perlu bangkit segera dari- pada keadaan sukar ini. Chelsea hanya tidak bernasib baik sahaja untuk menang kerana pemain kami bermain dengan baik.
"Tiada cacat cela tentang kesungguhan dan kebolehan mereka. Cuma keadaan sedikit sukar sekarang dan saya tidak mahu mereka hilang keyakinan," katanya.

Ini merupakan kekalahan ketiga Chelsea dalam empat perlawanan terbaru mereka selepas turut tumpas kepada Liverpool dan Sunderland sebelum ini.
Tambah memeritkan, kekalahan kepada Birmingham itu dicatatkan pada hari yang sama dengan usaha bekas penolong jurulatih Chelsea, Ray Wilkins mengambil tindakan undang-undang ke atas kelab tersebut.

Wilkins

Wilkins berbuat demikian kerana mendakwa pemecatannya baru-baru ini adalah tidak adil.
Sama ada ia kebetulan ataupun tidak, ini merupakan rekod penca- paian terburuk Chelsea sejak Roman Abramovich menjadi pemiliknya pada 2003.

Bagaimanapun Ancelotti menafikan, kemerosotan mendadak yang dihadapi Chelsea sekarang ada kaitan dengan pemecatan Wilkins.
"Semangat sepasukan masih tinggi. Apa yang berlaku tiada kaitan dengan Ray dan saya tidak mahu mengulasnya," tegas Ancelotti.

Chelsea kelmarin beraksi tanpa ketua pasukan, John Terry dan Frank Lampard yang masih cedera manakala Alex yang menggantikan Terry terpaksa diturunkan walaupun memerlukan pembedahan pada lutut.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!