Saturday, November 27, 2010

Liu tawar diri kahwin


SUPERSTAR China, Liu Xiang memberikan harapan buat berjuta-juta peminat wanita yang menyintainya, mengumumkan dia bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya, tetapi memberikan beberapa syarat perkahwinan yang perlu diikuti.

Mana-mana wanita yang mahu menjadi isterinya perlu menghormati kedua-dua ibu bapanya, sanggup tinggal serumah dengan mereka dan mahu sekurang-kurangnya dua orang anak sebelum 2015, kata Liu dalam satu temuramah dengan portal Internet ternama, Tencent.

"Tidak, saya tidak memiliki seorang teman wanita, memang benar saya tiada, jika ada, saya tidak akan menyembunyikannya," kata Liu.


"Ia bergantung kepada takdir. Teman wanita saya patut seorang yang berbudi bahasa, sopan dan menghormati kedua-dua ibu bapanya dan ibu bapa saya." Sejak memenangi pingat emas acara 110 meter lari berpagar Sukan Asia Guangzhou Rabu lalu dengan masa 13.09 saat - catatan masa terbaiknya sejak mengalami kecederaan pada perlumbaan peringkat awal pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008 - Liu sekali lagi menjadi tumpuan utama media.


Kemenangan itu tidak dinafikan menjadikan pelari kaya itu, bekas juara Olimpik dan pemegang rekod dunia, sebagai seorang bujang paling diingini di China.

"Kerana saya anak tunggal dilahirkan sekitar 1980-an, saya membesar tanpa rakan sepermainan. Jadi saya fikir dua orang anak sudah mencukupi, saya mahukan dua orang anak," kata Liu.


"Saya akan tinggal dengan ibu dan bapa saya, mereka boleh menjaga anak-anak saya kerana saya amat sibuk... saya masih sukakan masalah ibu." Liu berkata dia tidak akan melanggar undang-udang berkaitan polisi perancangan keluarga "seorang anak" di China dan merujuk kepada perubahan terbaru terhadap undang-undang itu yang membolehkan pasangan memiliki dua orang anak jika kedua-dua ibu bapa mereka adalah anak tunggal.


"Nilai keluarga saya amat penting, keluarga lebih penting daripada segala-galanya," katanya.

"Keluarga diibaratkan sebuah pelabuhan yang selamat, tidak kira apa yang berlaku terhadap anda di luar, anda boleh kembali ke rumah dan melupakan mengenai segala-galanya." Liu berkata dia bercadang untuk terus bertanding hingga sekurang-kurangnya Kejohanan Dunia pada 2015.


"Pada 2015, saya akan berusia 32 tahun, dan sebagai orang biasa saya sepatutnya sudah berkahwin dan memiliki anak-anak, itulah kehidupan," katanya.

Liu, yang dilahirkan pada 13 Julai 1983 di Putuo, Shanghai, melakar sejarah apabila muncul atlet olahraga pertama China memenangi pingat emas dalam sukan itu pada temasya Sukan Olimpik Athens.


Dia juga atlet pertama China meraih "tiga mahkota" dalam sukan olahraga: pemegang rekod dunia, juara dunia dan juara Olimpik.

Liu, yang lebih suka merendah diri, menderma kira-kira 2.5 juta yuan (RM1.18 juta) kepada mangsa gempa bumi Sichuan pada 2008.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!