Fazlina |
Eksekutif wanita, Fazlina Ahmad yang didakwa dibunuh oleh suaminya mungkin masih hidup semasa dia disumbat ke dalam sebuah almari pakaian dalam keadaan hidung dan mulutnya ditutup menggunakan pita pelekat pada Disember tahun lalu. Pakar Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Khairul Anuar Zainun berkata, pendapat itu berdasarkan kesan-kesan kecederaan yang menunjukkan mangsa meronta serta cuba mempertahankan diri ketika mulut dan hidungnya ditekup.
Antara kecederaan tersebut adalah lebam melecet pada bahagian atas bibir, luka lebam di bahagian bawah kanan bibir dan kesan melecet pada bahagian tengkuk.
''Saya berpendapat, kematian ini tidak berlaku serta merta. Kesan tekupan dan kesan kecederaan yang dijumpai mengatakan bahawa terdapat sedikit masa. Simati masih hidup ketika tekupan dilakukan.
''Mangsa mungkin mati antara setengah dan satu minit selepas mulut dan hidungnya ditekup,'' katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Khairul Anuar yang merupakan saksi pendakwa kedua berkata demikian semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.
Dalam kes ini, bekas pengurus syarikat katering, Mohafri Mohamed, 38, didakwa membunuh Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Menurut Khairul Anuar, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa yang dijumpai di bahagian bawah almari dengan memakai sehelai tuala kuning serta dibaluti dengan selimut tebal disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Katanya, pemeriksaan dalaman mendapati kebanyakan organ dalaman mangsa mengalami kongesi atau lemas yang teruk selain tanda-tanda pada bahagian muka.
''Dalam kes ini terdapat halangan mekanikal (pita pelekat) di bahagian luaran pernafasan si mati dan kesan halangan ini yang membawa kepada kematian,'' jelas beliau.
Saksi bagaimanapun menolak kemungkinan mangsa meninggal akibat serangan penyakit asma kerana tanda-tanda seperti paru-paru mengembang sehingga memenuhi rongga dada tidak berlaku.
Sementara itu, Safiyatun Omar, 39, yang merupakan kawan baik Fazlina memberitahu bahawa dia membuat laporan polis selepas gagal menghubungi mangsa pada hari kejadian.
Menurut saksi pendakwa pertama itu, dia merasa tidak sedap hati atau bimbang selepas berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan pembantu rumah Fazlina, Yayok.
Safiyatun yang merupakan pegawai undang-undang mengesyaki ada sesuatu cuba disembunyikan oleh tertuduh apabila dia tidak membenarkan Yayok menyapu, mengemop atau masuk ke dalam bilik tidur utama dengan alasan almari hampir roboh.
''Yayok ada mencuri masuk ke dalam bilik tidur utama dan mendapati pakaian daripada almari telah dikeluarkan selain almari dililit dengan pita pelekat.
''Yayok juga memberitahu tertuduh berpesan, apa-apa yang berlaku di dalam rumah itu adalah antara dia dan mangsa serta melarang pembantu rumah itu masuk campur,'' katanya.
Ketika disoal balas oleh peguam yang mewakli tertuduh, Hisyam Teh Poh Teik, saksi menafikan mempunyai hubungan intim sesama jenis dengan Fazlina.
Dia turut menafikan ada menghantar SMS yang membuktikan mereka menjalinkan hubungan 'mesra' kepada mangsa termasuk pada pukul 5 pagi.
Jelas Safiyatun, hubungan mereka rapat sebagai rakan karib hanya sejak dua hingga tiga bulan sebelum Fazlina ditemui mati selain sering menjadi tempat mangsa meluahkan perasaan.
Dia bagaimanapun mengakui Fazlina seorang yang kuat merokok serta mengidap penyakit asma.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok.
.
2 Penyokong CHELSEA:
haa? merokok?
huhuhu...ramai wanita/remaja di malaysia merokok...
Post a Comment