Tuesday, November 30, 2010

Motosikal dihimpit kereta Aminulrasyid


Seorang saksi memberitahu bahawa dia terpaksa menjatuhkan badan di atas jalan raya apabila motosikalnya dihimpit kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid Amzah pada malam remaja berusia 15 tahun itu mati ditembak pada April lalu.

R. Lokman Hakim R. Daly, 23, semasa memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berkata, dia bertindak demikian bagi mengelak motosikal yang ditunggangnya terlanggar pembahagi jalan di sebelah kanan atau kereta tersebut.

Tindakan itu menyebabkan dia mendapat kecederaan di kedua-dua belah tangan dan bahagian lutut serta terpaksa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Selangor.
''Semasa sampai di kawasan keadaan jalan berbukit, kereta Proton Iswara dipandu perlahan. Jadi saya memotong untuk melihat pemandu tetapi dihimpit ke kanan jalan oleh kereta tersebut.

''Saya terpaksa menjatuhkan badan untuk mengelakkan terlanggar pembahagi jalan. Kereta Proton Iswara terus memecut dari Persiaran Dato' Menteri dan terus ke Seksyen 11. Rakan-rakan bantu saya dan tidak lagi mengekori kereta itu,'' katanya.

Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata demikian semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Adilla Ahmad pada perbicaraan ke atas Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lalu.

Jenain, 48, dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Menceritakan kejadian pada malam tersebut, Lokman Hakim yang bekerja sendiri sedang minum di Restoran Ali's Corner di Seksyen 7 di sini bersama lima rakannya pada pukul 11.30 malam.

Pada pukul 12.15 malam, katanya, dia terdengar bunyi dentuman dan melihat bampar (bumper) kereta Toyota Celica biru gelap milik rakannya dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna putih berhampiran restoran tersebut.

Melihat pemandu kereta Proton Iswara berlalu begitu sahaja, dia bersama dua lagi rakannya terus menaiki motosikal dan cuba mengejar kereta itu untuk meminta ganti rugi bagi pihak rakannya.
Kata Lokman Hakim, mereka mengekori kereta tersebut ke Seksyen 8, Seksyen 9, Seksyen 11 dan ke Bulatan Kayangan sebelum terhenti di Persiaran Dato' Menteri.

Menurut saksi itu, dia ternampak seorang lelaki di bahagian penumpang hadapan dan menyedari pemandu Proton Iswara itu ialah seorang remaja dalam lingkungan usia 17 tahun semasa hampir memintas kereta tersebut.

''Saya ekori kereta tersebut. Semasa di Seksyen 8, pemandu mula menyedari dia dikejar dan memandu semakin laju yang mana lima atau enam lampu isyarat merah dilanggar di sepanjang jalan menuju ke Bulatan Kayangan.
''Pada malam itu orang tidak ramai serta tidak banyak kenderaan, cuma di persimpangan Plaza Masalam dan Hotel Concorde kereta agak banyak,'' jelasnya.

Sementara itu, Lans Koperal Madi Samsudin, 35, dari Cawangan Persenjataan Balai Polis Seksyen 6 di sini memberitahu, peluru yang didaftar keluar di bawah nama Konstabel Mohd. Izham Mahayadin kurang 10 butir.

Jumlah tersebut disahkan apabila anggota unit peronda itu memulangkan semula sub-mesingan Heckler & Koch MP5, empat kelopak bersama peluru yang diambil selepas selesai bertugas pada pukul 6.30 pagi, 26 April lalu.

''Izham ada beritahu saya dia ada melepaskan tembakan (semasa bertugas) tetapi jumlah tidak pasti. Selepas itu saya buat pengiraan peluru dan jumlah yang tinggal hanya 90 butir.
''Semasa mula bertugas ada 100 peluru, bila serah semula ada 90 butir maknanya kurang 10 butir. Semasa buat pengiraan, saya dapati jumlah peluru berkurangan hanya dari satu kelopak,'' katanya.

Berikutan kekurangan jumlah peluru itu, beliau membuat catatan pada buku daftar keluar masuk senjata api dan mengasingkan senjata api serta peluru berkenaan bagi memastikan ia tidak digunakan oleh anggota peronda yang lain.

Satu laporan polis berhubung perkara itu turut dibuat oleh Madi pada pukul 2.30 petang hari yang sama.
Senjata api, peluru dan kelopak peluru berkenaan telah dirampas oleh seorang pegawai polis untuk siasatan berhubung kematian Aminulrasyid pada 1 Mei lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung esok.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!