Fungsi lain ayam betina selain daripada bertelur | RAMAI yang menganggap anjing kawan baik manusia tetapi kebanyakan warga emas di North East, England, menjadikan ayam sebagai kawan paling rapat. Berpuluh-puluh pesara di bahagian utara negara itu dilaporkan menjadi lebih ceria sejak menyertai skim kebajikan dan menggunakan ayam betina untuk melawan kesepian. Bermula dari bilik tidur sehinggalah ke salon kecantikan, mereka menjadikan ayam betina sebagai rakan karib yang dibawa ke mana-mana. Projek dinamakan HenPower ini menyaksikan puluhan warga emas terlibat dengan penjagaan harian ayam seperti memberi makanan, membersih serta merawat haiwan itu daripada terkena jangkitan kutu. Sehingga kini, berpuluh-puluh ekor ayam betina dipelihara di lapan buah rumah kebajikan di sekitar bandar Tyne dan Wear.
Seorang peserta projek, George Stewart, 78, yang menetap di rumah perlindungan Wood Green telah menyertainya sejak tiga tahun lalu. "Apabila saya menetap di sini saya rasa terasing dan sunyi tetapi sejak membela ayam betina, saya jadi tenang," ujarnya. Seorang lagi peserta, Alan Richard, 76, sanggup pergi ke tempat jualan lelong, semata-mata mahu membida telur ayam subur. "Apabila pulang, kami membawa 36 biji telur ayam dan 10 ekor ayam betina. "Saya telah pergi ke tempat yang tidak pernah saya kunjungi sebelum ini. Ini membantu saya lebih sihat kerana keluar rumah berbanding hanya melepak, menonton televisyen dan merokok sebelum ini," ujarnya. Richard turut menyertai seminar berkaitan HenPower yang dihadiri oleh 200 orang peserta. Menurut seorang pegawai di rumah perlindungan Lynne Walker, dia kadang-kala tersenyum sendirian apabila mengingati telatah warga emas terbabit dengan ayam-ayam mereka.
Peserta HenPower kerap berkongsi pengalaman berkaitan ayam betina peliharaan mereka dengan mengadakan lawatan ke sekolah dan pusat penjagaan lain bersama ayam peliharaan masing-masing. Ossie Cresweel, 87, memberitahu dia sangat seronok setiap kali melawat rumah perlindungan dan ke sekolah untuk berkongsi pengalaman berkaitan ayam betina. Pengarah Equal Art, Douglas Hunter bangga kerana skim kebajikan itu dapat menyediakan aktiviti untuk warga emas memenuhi masa terluang dan kembali merasa sibuk serta melalui pengalaman yang berbeza. Sebanyak 46 peratus daripada penduduk England yang berusia 80 tahun ke atas dilaporkan mengalami kesunyian. Jabatan Kesihatan negara itu baru-baru ini turut menyifatkan data bahawa 800,000 orang rakyat England mengalami kesunyian yang kronik sebagai sesuatu yang memalukan. Mungkin ayam betina adalah jawapan bagi mengubat kesunyian mereka! - AGENSI
.
1 Penyokong CHELSEA:
Kesunyian boleh diubati dengan berblog
Post a Comment