Friday, November 12, 2010

Sebak ceritakan keadaan mayat mangsa

MAZLI bersama dokumen siasatan ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.
Badan di luar kereta, muka tersembam atas kerusi pemandu

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyiasat polis sebak di Mahkamah Sesyen semalam, apabila diminta menceritakan kedudukan mayat Aminulrasyid Hamzah, yang tertiarap di kerusi pemandu kereta Proton Iswara dipandunya, selepas maut akibat ditembak di Seksyen 11, di sini, April lalu.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Pegawai Penyiasat Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Selangor, Cif Inspektor Mazli Jusof terdiam seketika sebelum mengusap mukanya menahan air mata.
Mazli kemudian meminta kebenaran Hakim Latifah Mohd Tahar untuk menangguhkan prosiding itu selama lima minit bagi menenangkan dirinya. Sebaik prosiding ditangguhkan, beliau seterusnya dilihat menuju ke tandas.

Terdahulu, Mazli memberitahu mahkamah mayat Aminulrasyid berada dalam keadaan tertiarap, badannya berada di luar kereta di bahagian pemandu, manakala mukanya tersembam di atas tempat duduk pemandu.

“Saya berpendapat kedudukan mayat sudah dialihkan daripada kedudukan asalnya dan ketika itu mayat berada dalam kedudukan yang amat menyedihkan,” katanya dalam nada sebak.

Saksi ke-25 itu berkata, terdapat kesan darah keluar di bahagian hidung pada wajah mangsa.
Mazli berkata, beliau turut dimaklumkan Asisten Superintendan (ASP) Ahmad Fauzi Mohamed Zin, mayat Aminulrasyid sebelum itu sudah dialihkan anggota polis kereta peronda dan kemudian diperiksa oleh pihak ambulans.

“Saya kemudian memeriksa mayat dan mengalihkan dari kedudukan itu dengan membaringkan di atas tanah berumput. Disebabkan siasatan saya mungkin mengambil masa yang lama, jadi saya tidak mahu kedudukan mayat terus begitu sehingga siasatan saya selesai.

“Ketika itu, saya dapati berdasarkan fizikal dan rupa mayat itu, beliau seorang lelaki Melayu berumur belasan tahun,” katanya ketika memberi keterangan perbicaraan kes Koperal Jenain Subi, 48, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, pada jam 1.10 pagi, pada 26 April lalu.

Tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini dan didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Dusuki dan Idham Abd Ghani melakukan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Salim Bashir dan M Athimulan. Perbicaraan bersambung 22 November ini.





.

1 Penyokong CHELSEA:

akubiomed on November 12, 2010 at 10:36 AM said...

Sebagai seorang insan bernama manusia perasaan simpati memang ada. Haiwan pun sayangkan anak inikan manusia

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!