Friday, November 19, 2010

Tukang tilik risau William, Middleton

Bakal pasangan diraja Britain diramal bermasalah


NEW DELHI: Tukang tilik Asia meramalkan masa depan tidak menentu bakal pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton membabitkan isu kecurangan, perceraian dan masalah mendapat anak.

Arun Kumar Bansal, Presiden Persekutuan Masyarakat Astrologi India, menyaksikan kebanyakan masa depan cerah buat pewaris takhta kedua dan bakal isterinya itu yang pada Selasa lalu mengumumkan mereka akan kahwin tahun depan.

“Mereka secocok. Mereka mendapat 24 daripada 36 mata keserasian keseluruhan,” katanya kepada AFP selepas meneliti carta astrologi kelahiran pasangan itu, yang mana katanya ia dipengaruhi Planet Utarid.

“Middleton lebih lembut berbanding putera raja itu. Beliau sentiasa bersetuju dengan kehendak dan keperluannya. Mereka saling memahami dan hubungan mereka sangat erat. Mereka tidak akan bergaduh di khalayak ramai dan Middleton akan membawa dirinya dengan baik di khalayak ramai.

“William sedang menjalani fasa terbaik dalam kehidupannya ketika ini. Ia akan bertahan selama 15 hingga 20 tahun. Namun, beliau tidak akan menjadi raja dalam tempoh lama, sekurang-kurangnya 15 tahun,” katanya.

Dalam kebanyakan budaya Asia, tukang tilik nasib adalah orang pertama ditemui ketika mencari pasangan sesuai dan panduan berhubung tarikh sesuai untuk berkahwin dan menamakan anak.
Bansal meramalkan perkahwinan yang bakal berlangsung buat William dan Middleton ialah pada Jun atau Julai 2011.

Beliau berkata satu-satunya masalah dalam penyatuan itu adalah pasangan terbabit akan menghadapi masalah untuk menimang cahaya mata.

Seorang pakar terkenal feng shui Hong Kong, Yeo Tinming, pula melihat tiada masalah pasangan itu memiliki anak dan meramalkan Middleton hamil pada 2012.

“Kedua-duanya amat serasi. Seorang dilahirkan pada musim sejuk dan seorang lagi pada musim panas. Mereka melengkapi antara satu sama lain,” katanya sambil memberi amaran pasangan itu akan sering bertengkar.

Seorang lagi peramal nasib di Hong Kong kurang optimis, dengan mengatakan penyatuan diraja itu kemungkinan berakhir dengan perceraian dan mengecam pasangan itu akan menerima nasib sama seperti ibu bapa William, Putera Charles dan Puteri Diana.

“Akan wujud masalah besar buat pasangan itu sedekad selepas Putera William mencecah usia 39 tahun,” kata Anthony Cheng, penulis feng shui terkenal dan personaliti televisyen.

Cheng berkata putera berusia 28 tahun itu kemungkinan terbabit dalam kemalangan ngeri atau bercerai pada usia 40 an.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!