PASIR MAS: “Mana anak aku...mana anak aku!“ jerit Abdul Aziz Abdullah, 42, sebaik tiba di lokasi kemalangan yang mengorbankan empat nyawa termasuk dua anaknya selepas sebuah kereta dinaiki lima sepupu terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kampung Kenjong, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, lima sepupu terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Cabang Tiga Chetok, Jalan Tok Uban, dekat sini, untuk ke pusat tuisyen di bandar ini menaiki kereta Peugeot 406 dipandu Amir Asyraf Abd Aziz, 22.
Saksi, Asyrizulkifli Che Hasan, 22, berkata sejurus kemalangan hanya Amir Asyraf ditemui penduduk kampung dalam keadaan cedera parah selepas tercampak tidak jauh daripada kenderaan dipandunya dan tidak lama kemudian Abd Aziz tiba di lokasi kejadian. Menurutnya, selepas menyertai penduduk kampung mencari empat penumpang kereta itu, bapa terbabit hanya mampu meraung sebaik melihat anak sulungnya, Afiq Izwan 17, ditemui sudah meninggal dunia di bawah kereta dinaikinya.
Katanya, lebih memilukan, anak kedua Abdul Aziz, Irsyanudin, 13, meninggal dunia dalam parit di tempat kejadian bersama sepupunya, Isyraf Ibrahim, 11. “Sebaik melihat mayat kedua-dua anaknya, saya lihat dia (Abdul Aziz) tidak dapat mengawal perasaan lalu meraung sebelum ditenangkan orang ramai yang membantu mengeluarkan mangsa,” kata Asyrizulkifli.
Seorang lagi mangsa, Nur Qistina Hanafi, 11, yang parah di kepala, ditemui dalam jarak kira-kira dua meter daripada Irsyanudin dan Isyraf, namun dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas. Asyrizulkifli berkata, sebelum kejadian, kenderaan dinaiki lima bersaudara itu memotong Proton Iswara dipandunya ketika dia dalam perjalanan ke majlis kenduri saudaranya di pekan ini.
BUKTI...Asyrizulkifli menunjukkan kawasan kemalangan. |
“Dalam tempoh hanya beberapa saat kemudian, saya melihat kereta Peugeot berwarna merah itu terbabas dan merempuh sebatang pokok sebelum terjunam ke kawasan parit di kawasan itu.
“Ketika itu saya lihat kereta itu cuba memotong kenderaan lain, namun gagal disebabkan ada kenderaan lain di depan sebelum ia melencong jauh sehingga terbabas dan melanggar pokok,” katanya.
Pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu berkata, dia kemudian memberhentikan kenderaannya di bahu jalan dan beberapa penduduk kampung berhampiran juga tiba di tempat kejadian memberi pertolongan.
“Kami menyuluh ke dalam kereta untuk melihat keadaan mangsa, tetapi tidak ada sesiapa di dalamnya dan kemudian menemui pemandu kereta itu (Amir Asyraf) tercampak di luar kereta.
“Saya kenal Amir kerana dia rakan sekampung. Pada mulanya, saya dan penduduk kampung yang membantu menyangka hanya dia yang terbabit dalam kemalangan, rupa-rupanya ada empat lagi mangsa lain menyebabkan usaha mengesan mereka dilakukan di kawasan sekitar itu,” katanya.
Asyrizulkifli berkata, dia menghubungi datuk Amir Asyraf dan tidak lama kemudian Abdul Aziz tiba di lokasi.
“Kami berusaha mencari mangsa lain dan menemui mangsa ketiga (Afiq Izwan) terhempap di bawah kereta, dua (Irsyanudin dan Isyraf) di dalam parit manakala seorang lagi (Qistina), kira-kira dua meter dari situ,” katanya.
Difahamkan, Afiq Izwan belajar di Sekolah Tahfiz Repek, Rantau Panjang, Irsyanudin pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Uban, manakala Qistina dan Isyraf murid Sekolah Kebangsaan Chetok, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, Peugoet 406 itu dipercayai terbabas sebelum merempuh pokok di kiri jalan menghala ke Pasir Mas.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment