Selepas berulang alik antara rumah kedua ibu bapanya yang bercerai 10 tahun lalu, akhirnya seorang bekas pelajar perempuan sekolah agama di sini menghilangkan diri sejak dua hari lalu.
Bapa pelajar berkenaan, Kamaruddin Hassan, 46, berkata, anaknya Nurul Shaziena Kamaruddin, 18, ada memaklumkan kepadanya untuk pergi ke rumah ibunya di Pasir Tumboh, Kota Bharu, bagaimanapun anaknya gagal dihubungi selepas itu.
Katanya, sudah menjadi kebiasaan untuk anaknya yang mesra dipanggil Kak Ngah itu berulang alik dari rumahnya di Padang Rokna, Wakaf Bharu ke rumah bekas isterinya, Rola Rina, 37, selepas mereka bercerai kira-kira 10 tahun lalu.
"Kak Ngah ada memaklumkan kepada saya melalui telefon untuk pergi ke rumah ibunya pada Ahad lalu, selepas dia keluar rumah kira-kira pukul 10 pagi hari yang sama. Tetapi apabila saya cuba menghubunginya keesokan hari, (panggilan) tidak berjawab menyebabkan saya berasa tidak sedap hati.
"Selepas menghubungi bekas isteri, saya dimaklumkan Nurul Shaziena tidak datang ke sana sejak dua hari lalu dan berusaha beberapa kali menghubungi Shaziena, sebelum mengambil keputusan melaporkan perkara itu di Balai Polis Wakaf Bharu tengah hari ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan itu sambil meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi balai Polis Wakaf Bharu di talian 09-7196222 atau bapa mangsa di talian 014-5209617 dan 012-9631973.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment