Akibat melanggar undang-undang jalan raya dengan membuat pusingan U di Kilometer 27.3 Lebuh Raya Persekutuan di sini, tiga remaja yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil maut setelah dirempuh kenderaan lain awal pagi ini.
Mereka yang maut dalam kemalangan pukul 3 pagi ini ialah pemandu Perodua Kancil tersebut, Chong Jin Kong, 17, dan dua penumpang, Liew Yuh Fen, 17, serta Fong Mun Fai, 18.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, kemalangan itu berlaku apabila pemandu Perodua Kancil yang dalam perjalanan ke Subang membuat pusingan U selepas Jambatan Pasangan Kabel Motorola.
Menurutnya, kereta itu yang berada di laluan paling kiri secara tiba-tiba membuat pusingan U tanpa menyedari terdapat sebuah Proton Waja di belakang mereka di lorong kanan.
"Proton Waja yang dipandu J. Sukvinderjit dikatakan gagal melihat lalu merempuh Perodua Kancil itu di
bahagian tepi pemandu sehingga menyebabkan dua penumpangnya tercampak keluar.
"Seorang daripada mereka tercampak ke jalan bertentangan dan seorang lagi di laluan sama, manakala pemandu yang tersepit di dalam kereta Perodua Kancil melambung ke kiri jalan," katanya di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa yang tercampak di laluan bertentangan digilis oleh sebuah lori seberat lima tan serta diseret sejauh 20 meter sehingga mayatnya sukar dikenali.
Che Hussin memberitahu, pemandu kedua-dua kereta itu mengalami kecederaan serius akibat tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
Jelasnya, Jin Kong yang tersepit di dalam Perodua Kancil tersebut putus kaki kirinya dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan, namun meninggal dunia pukul 8 pagi ini.
Manakala Sukvinderjit pula katanya, turut parah dan berada dalam keadaan kritikal di PPUM.
"Pasukan Bomba dan Penyelamat yang turut membantu dalam kemalangan itu mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua pemandu yang tersepit," ujarnya.
Kemalangan berlaku kira-kira 300 meter dari lokasi yang mengorbankan tiga lelaki dalam kemalangan Khamis lalu yang berpunca daripada seorang pejalan kaki warga asing cuba melintas lebuh raya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment