ANGGOTA bomba mengeluarkan Jelita (gambar kecil), yang tersepit di tempat duduk hadapan, namun meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Bau-Serikin |
Suami dituduh jalin hubungan sulit dengan penumpang wanita yang maut
KUCHING: Kemalangan maut yang berlaku di Jalan Bau-Serikin dekat sini, petang kelmarin, menjadi kecoh selepas isteri salah seorang mangsa memarahi suaminya yang didakwanya mempunyai hubungan dengan penumpang wanita yang meninggal dunia.
Dalam kemalangan jam 1 petang itu, Jelita Lorin, 32, berasal dari Kampung Sileng Melayu, Lundu, menaiki Perodua Viva dipandu rakannya seorang anggota polis berpangkat sarjan berusia 49 tahun sebelum kenderaan itu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.
Jelita yang tersepit di bahagian tempat duduk depan diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, namun meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Bau akibat cedera parah di kepala dan dada.
Bagaimanapun, kekecohan berlaku ketika pasukan penyelamat cuba mengeluarkan mangsa lelaki yang turut terperangkap di tempat duduknya selepas seorang wanita berusia sekitar 40-an, dipercayai isteri anggota polis itu memarahi suaminya yang cedera parah.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Vincent Ajeng, berkata kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang menghala ke Serikin dipercayai terbabas ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Viva.
"Akibat rempuhan itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala mangsa lelaki yang juga anggota polis dari Lundu patah tangan dan kaki.
“Seorang penumpang yang menaiki kenderaan pacuan empat roda turut patah tangan kiri, namun pemandu dan seorang lagi penumpangnya tidak cedera," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment