Saturday, December 18, 2010

Kajol rehat berlakon

Aktres Bollywood cuti mahu tumpu anak


MUMBAI: Peminat aktres terkenal Bollywood, Kajol, pasti akan merindui kemunculannya selepas ini apabila bintang filem itu mengambil keputusan ‘berehat’ daripada berlakon bagi memberi tumpuan kepada keluarga terutama anak lelakinya Yug yang baru berusia tiga bulan.

“Buat masa ini saya tidak boleh memikirkan mengenai lakonan atau filem, sehingga Yug berusia sekurang-kurangnya tiga tahun,” katanya kepada wartawan.

Pelakon itu berkata, menghabiskan masa bersama anak dan menguruskan keperluan keluarga adalah suatu perkara yang menyeronokkan. “Saya seronok menghabiskan masa bersama Yug dan anak sulung kami Nysa. Mereka adalah keutamaan saya sekarang dan saya amat suka melihat mereka membesar dengan saya berada di sisi mereka,” kata isteri kepada pelakon dan pengarah filem Ajay Devgn itu.

Kajol berkata filem terakhir lakonannya sebelum berundur diri ialah Toonpur Ka Superhero dan dia akan menimbangkan semula sama ada akan kembali berlakon selepas itu.

“Saya dan Ajay sukakan skrip filem ini dan kami juga tertarik untuk melihat bagaimana pengarahnya, Kireet Khurana akan menghasilkan filem ini kerana ia adalah filem animasi pertama India. Dia menunjukkan kepada kami bagaimana filem itu dihasilkan dan kami amat kagum,” katanya.

Kajol berkata, satu lagi sebab dia meminati filem Toonpur Ka Supehero ialah ia mempunyai kaitan dengan minda kanak-kanak.
“Kanak-kanak menerima banyak pendedahan sekarang, semuanya boleh didapati melalui internet jadi kita perlu memberikan mereka sesuatu yang positif,” kata pelakon itu yang mengaku amat meminati filem dan komik Superman.

Kajol juga berkata sebahagian hasil filem itu sudah ditunjukkan kepada penerbit filem Who Framed Roger Rabbit yang yang melawat Mumbai baru-baru ini dan beliau kagum dengan hasilnya.

“Dia tidak menyangka filem seperti ini mampu dibuat di India,” katanya.
Kajol mengakui dia tidak banyak berlakon bersama suaminya, bagaimanapun mereka berlakon bersama dalam Toonpur Ka Superhero.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!