Tuesday, December 21, 2010

Kami bukan bergaduh - Ahmad Dhani


SELEPAS khabar angin Once atau nama sebenarnya Elfonda Mekel mahu keluar daripada band terkenal Indonesia, Dewa 19, tiada satu pengesahan yang dibuat oleh ketua band tersebut, Ahmad Dhani dan mana-mana anggota Dewa 19 di Indonesia.
Sebaliknya, Ahmad Dhani lebih senang untuk mengumumkan berita pengunduran vokalisnya itu secara eksklusif kepada media Malaysia.

Dia yang ditemui pada Konsert Ria anjuran Astro di Shah Alam, Ahad lepas mengakui Once telah pun menghantar surat pengunduran diri seminggu lalu.
Bagaimanapun, belum ada sebarang mesyuarat berhubung hal itu antara Dhani dan anggota Dewa 19 yang lain iaitu Andra Junaidi (gitar), Yuke Sampurna (bass) dan Agung Yudha (drum).

"Kami semua sudah menerima surat pengunduran daripada Once tetapi belum mesyuarat tentang hal itu. Ini kali pertama saya berbicara mengenai hal ini, media Indonesia juga belum tahu," ujarnya.

Disoal mengenai perasaannya saat menerima surat pengunduran daripada Once memandangkan sudah 12 tahun mereka bersama dalam Dewa 19. Jawab Dhani: "Saat berpisah dengan bekas isteri pun saya tidak sedih, inikan pula dengan Once.

"Mahu tidak mahu kami semua harus menerima keputusannya itu dan hadapi dengan senyuman. Dia undur diri kerana dia sudah bosan dengan Dewa. Lagipun, dia sukses sebagai penyanyi solo."

Ditebak lagi soalan, mungkinkah pengunduran Once berpunca daripada perselisihan faham, Dhani bagaimanapun menafikannya tetapi mengaku yang dia dan Once sudah tidak bercakap antara satu sama lain sejak bulan Ogos lalu.

"Tidak ada sebarang perselisihan faham, semuanya baik-baik saja. Saya dan Once sudah tidak bercakap sejak bulan Ogos, jika ada persembahan dia di sudut lain, kami semua di sudut yang lain, cuma bersatu ketika membuat persembahan.

"Persembahan terakhir Dewa 19 bersama Once adalah ulang tahun stesen televisyen, SCTV. Selepas itu kami tidak bertemu atau berbicara lagi," kata Dhani yang merupakan pemilik Republik Cinta Management yang dinaungi oleh Dewa 19.
Tambah Dhani, dia sedar dengan pengunduran Once pastinya ramai peminat yang akan kecewa kerana vokalis bersuara lantang itu sudah cukup sinonim dengan Dewa 19.

"Pasti ada yang kecewa tetapi sekarang ini setiap anggota Dewa 19 sudah ada band di luar mereka sendiri, seperti Andra. Pendapatan terbesarnya adalah menerusi band Andra & The Backbone bukannya bersama Dewa, saya juga sekarang sudah bersama band TRIAD jadi, band Dewa 19 bukan lagi band utama setiap anggota Dewa, Dewa 19 akan menjadi band sampingan kami saja," ungkapnya.

Ramai yang tertanya-tanya, jika tanpa Once bagaimana dengan nasib Dewa 19 kelak? Mungkinkah posisi vokalis akan diisi oleh Dhani sendiri memandangkan dia juga boleh menyanyi atau pun memanggil semula bekas vokalis Dewa terdahulu iaitu Ari Lasso?

"Tidak, saya tidak akan berada di posisi vokalis. Memang saya boleh menyanyi tetapi vokal saya tidak tinggi, saya suka penyanyi Dewa 19 mempunyai vokal yang tinggi, baru sedap lagunya.

"Sekarang dalam perancangan, saya akan mencari vokalis baru yang lebih muda. Saya tidak akan panggil semula Ari Lasso atau cuba memujuk Once untuk tarik balik surat pengunduran dirinya," tegas Dhani.

Beritahu Dhani tentang perancangannya mencari vokalis baru Dewa 19, dia telah berbincang dengan pihak stesen televisyen di Indonesia untuk mengadakan program mencari bakat seperti sebuah program realiti.

"Saya telah berbincang dengan pihak stesen televisyen tetapi belum ada keputusan
yang muktamad. Apa yang pasti, saya akan adakan sesi uji bakat. Jangka waktu untuk saya bertemu pengganti Once, mungkin mengambil masa setahun.

"Selepas bertemu dengan vokalis yang benar-benar cocok dengan semua anggota Dewa 19, baru saya boleh merancang perjalanan Dewa 19. Setakat hari ini, saya sudah ada beberapa lagu untuk Dewa 19 tetapi belum ada vokalisnya," tuturnya yang kini sibuk dengan band barunya TRIAD yang membawa maksud The Rock Indonesia Ahmad Dhani.

Dalam rakaman Konsert Ria 2010 yang berlangsung di i-City di Shah Alam itu, Dhani bersama TRIAD sempat menghiburkan penonton setia Astro dengan lagu Madu 3, Sedang Ingin Bercinta, Makhluk Tuhan Paling Seksi dan Pangeran Cinta, Selir Hati dan Aku Cinta Kau.

Bukan itu sahaja, Dhani juga berkolaborasi di atas pentas bersama band The Lucky Laki yang dianggotai oleh tiga anak lelakinya Ahmad Al Gazali,13, El Jalaluddin Rumi, 11, dan Ahmad Abdul Qodir Jaelani, 10, dengan lagu Munajat Cinta.




P/S - Berita terdahulu [KLIK SINI]



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!