HULU SELANGOR: Seorang pemandu bas ekspres dan sembilan penumpangnya cedera parah selepas kenderaan dinaiki merempuh belakang sebuah bas ekspres lain yang turut terbabit dalam kemalangan di Kilometer 420.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berhampiran susur Bukit Tagar, di sini, semalam.
Jurucakap polis berkata, kejadian membabitkan dua bas ekspres dan sebuah lori kira-kira jam 6.15 petang semalam berlaku selepas bas ekspres yang membawa sembilan penumpang dari Setiawan, Perak, cuba mengelak melanggar lori di hadapannya yang secara tiba-tiba memasuki laluannya.
“Pemandu bas terbabit terkejut apabila sebuah lori di lorong paling kiri lebuh raya tiba-tiba memasuki laluan hadapannya menyebabkan dia cuba mengelak sambil menekan brek.
“Pada masa sama, sebuah lagi bas ekspres lain yang mengekori belakang bas berkenaan gagal mengelak sebelum merempuh bas di hadapannya itu. “Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu bas di belakang sekali yang juga dari Setiawan, Perak menuju Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Sepang, cedera parah di kaki akibat tersepit,” katanya.
Menurutnya, lapan daripada 18 penumpang yang berada dalam bas di belakang sekali cedera apabila kebanyakan mereka tercampak di dalam bas yang remuk di bahagian hadapan.
“Kebanyakan mangsa yang cedera diselamatkan orang ramai sebelum dibawa keluar dari bas terbabit. Kebanyakan mangsa yang masih dalam keadaan terkejut dan kesakitan diberi rawatan kecemasan sementara menunggu ketibaan ambulans.
“Tidak sampai 15 minit kemudian empat ambulans dari Hospital Tanjung Malim, Hospital Kuala Kubu Baru dan Hospital Sungai Buloh tiba di lokasi kejadian sebelum membawa mangsa yang cedera ke hospital,” katanya.
Bagaimanapun, katanya semua penumpang bas ekspres yang melanggar bahagian belakang lori berkenaan terselamat.
Seorang mangsa yang cedera, Fauziah Abdilah, 41, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya dan penumpang lain.
Menurutnya, kejadian berlaku sekelip mata apabila bas berkenaan tiba-tiba bergegar sebelum berhenti mengejut.
“Akibatnya saya tercampak dan kepala melanggar kerusi di hadapan. Hentaman kuat menyebabkan kepala saya berpinar dan hampir pitam,” katanya sambil memegang dahinya yang lebam.
Fauziah berkata, keadaan mungkin menjadi tragedi lebih dahsyat sekiranya bas berkenaan dipandu laju atau tercampak ke laluan bertentangan.
“Walaupun bersyukur kerana terselamat, saya mungkin terlepas penerbangan pesawat Air Asia untuk ke Kota Kinabalu, Sabah, malam ini. Kemalangan ini boleh dielak jika bas berkenaan dipandu dalam jarak selamat,” katanya.
Sementara itu, pemandu bas, Muhammad Asraf Nordin, 36, yang terselamat berkata, dia cuba mengelak sebuah lori di hadapannya yang tiba-tiba memasuki laluannya tanpa memberikan lampu isyarat.
Menurutnya, dia cuba menekan brek, tetapi terlanggar sisi lori terbabit menyebabkan cermin hadapan bas pecah.
“Namun, belum sempat saya menarik nafas lega, sebuah lagi bas ekspres merempuh kuat belakang bas dipandu saya. Namun, saya dan sembilan penumpang lain bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih menyiasat punca kemalangan terbabit dan akan mengambil keterangan dua pemandu bas dan seorang pemandu lori berkenaan.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment