Saturday, December 25, 2010

Loji penapisan PPTSB di Kemaman terbakar malam tadi


Sebuah loji penapisan minyak milik syarikat Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd (PPTSB) di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman di sini terbakar kira-kira jam 11.50 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengurusan loji memaklumkan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 11.54 malam tadi.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba seramai 30 anggota bersama empat jentera dari balai Bomba dan Penyelamat Bandar Kerteh, Balai Paka, Balai Kompleks Petronas Kerteh dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Anggota bomba dan penyelamat bertungkus lumus mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain dan berjaya memadamkan api kira-kira 30 minit kemudian,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

“ Pihak kami terpaksa menunggu dan menjalankan pemeriksaan rapi sehingga jam 3 pagi bagi memastikan kebakaran itu dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Katanya lagi, sepasukan pekerja daripada syarikat loji penapisan minyak berkenaan yang dikenali sebagai Pasukan Tindak balas Kecemasan (ERT) seramai 30 anggota juga turut membantu usaha memadamkan kebakaran itu.

Khairulhasni berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dikatakan berpunca daripada sebatang paip minyak yang mengalami kebocoran namun pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.
Hasil tinjauan dari luar kawasan tersebut mendapati sebahagian daripada paip di pusat pemprosesan minyak itu terbakar teruk.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!