Wednesday, December 15, 2010

Mila uji kehebatan


LAMBAKAN penyanyi baru dan program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian menyebabkan cabaran survival dalam industri seni suara tanah air semakin sukar.
Tidak terkecuali bintang-bintang daripada program realiti Akademi Fantasia (AF) yang satu ketika dulu pernah mencetuskan fenomena dalam dunia hiburan tanah air.

Sinaran bintang-bintang graduan AF ini dilihat mulai pudar, malah sesetengah pelajarnya hilang begitu sahaja dalam dunia seni. Sepi tanpa berita.
Pemilik nama Nursyarmilla Jirin atau mesra disapa Mila merupakan bekas graduan AF yang masih menyengat tuahnya berlatarkan karakter comel keanak-anakkan yang digemari lapisan umur.

Kini Mila dilihat tidak lagi bergantung harap kepada populariti semata-mata bahkan memaksa dirinya untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama anak seni yang lain.

Juara AF5 itu juga telah mula melebarkan sayapnya ke luar negara dengan menyertai beberapa pertandingan nyanyian di peringkat antarabangsa.
Khabar yang bertiup mengatakan penyanyi berumur 23 tahun itu kini sepi buat seketika ternyata bukan satu kata yang logik untuk diterima akal.
Penyanyi kecil molek itu sebenarnya sedang sibuk dengan pelbagai program yang telah diatur buatnya dan membuat dirinya akur untuk merehatkan diri dalam pentas lakonan.

11 Disember lalu adalah tarikh ujian hebat sebagai seorang penyanyi kerana berjaya meletakkan dirinya dalam pertandingan akhir Open Mic UK di Manchester, United Kingdom.

Mila menyatakan bahawa penyertaan dalam pertandingan itu adalah hasil usahanya sendiri, dengan bantuan tenaga kerjanya yang tidak henti membantunya dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Seorang kawan yang Mila kenal sewaktu mewakili Malaysia ke Festival Muzik Pop Antarabangsa Discovery Ke-17 di Bulgaria dulu yang memberitahu Mila berkenaan pertandingan tersebut.

"Pertandingan akhir tersebut merupakan peringkat seterusnya setelah Mila berjaya melepasi peringkat kelayakan di Newcastle Oktober lalu.
"Kalau ada rezeki, Insya-Allah Mila akan melayakkan diri ke Grand Finale di O2, London pada tahun hadapan," katanya ketika menghadiri sidang akhbar untuk Konsert Rhythyms di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) baru-baru ini.
Album baru

Menurutnya, di Grand Finale itu, banyak label rakaman dan agensi yang akan turun menyaksikan pertandingan itu.
"Saya membuat keputusan untuk menyertai pertandingan tersebut kerana mahu mengembangkan bakat, mencari peluang baru dan melihat keadaan pasaran di luar negara" jelasnya.

Bakal tampil dengan album keduanya hujung tahun ini, buah tangan terbaru tersebut akan memuatkan 10 buah lagu iaitu lima lagu baru dan selebihnya merupakan lagu-lagu lama yang diberikan nafas baru.
"Setakat ini, hanya sebuah lagu lagi yang belum dirakamkan. Kalau boleh ia akan dilancarkan pada Disember ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

"Album ini berkonsepkan pop dan ada juga lagu-lagu berentak balada," katanya.
Mila mendedahkan barisan komposer yang terlibat dalam pembikinan album terbarunya itu yang terdiri daripada nama besar dalam lapangan muzik iaitu Ajai dan Aidit Alfian.

"Album ini sangat istimewa buat Mila kerana inilah kali pertama Mila terlibat seratus peratus dalam pembikinan album, daripada pemilihan lagu hinggalah ke konsep album itu sendiri," ucap pelantun Jika Kau Ubah Fikiran itu dengan senyuman.

Mengupas keputusan berehat daripada pentas lakonan, Mila jujur mengakui jadual nyanyiannya yang padat menyukarkan Mila untuk melapangkan waktu serta komitmen buat profesion keduanya itu.

"Ruang untuk berlakon sangat tipis, Mila tidak mahu terlalu terkejar-kejar dan kelihatan tamak dalam pengagihan kerjaya.
"Jika Mila sibuk menyanyi, takut nanti tidak dapat memenuhi jadual untuk penggambaran dan akan menimbulkan masalah serta menyusahkan ramai pihak.

"Mila akan berhenti berlakon sekejap, tapi kalau Mila dapat tawaran yang baik selepas ini, Insya Allah Mila akan pertimbangkan," katanya.
Konsert Rhythms
Mila turut mencanangkan warta penglibatannya dengan Konsert Rhythyms yang dianjurkan Matic di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang pada 17 hingga 19 Disember ini.

Konsert yang diilhamkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen itu bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai dan pelancong asing tentang destinasi-destinasi pelancongan yang ada di negara ini.
Konsert tersebut akan memaparkan ekspedisi penerokaan pelancongan tempatan dengan membawa pelbagai tema seperti homestay, taman, seni kontemporari dan festival makanan.

Ia akan disampaikan dalam bentuk pementasan muzikal dan Mila akan memainkan peranan sebagai pelancong dan akan berkongsi kisah pelancongannya bersama audiens yang hadir.

Pengarah Matic, Datin Zaitun Mohd Ali berkata, Mila dipilih berdasarkan imej yang bersih dan contoh yang baik untuk ditonjolkan kepada pelancong-pelancong asing.
"Mila akan memegang peranan sebagai tunjang utama, di mana dia akan bertindak sebagai pelancong dan bercerita mengenai pelancongannya dalam bahasa Inggeris.
"Persembahan selama 45 minit itu akan melibatkan tarian, visual, muzik, nyanyian dan kesan khas. Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket secara percuma di Matic," katanya.

Sementara itu, Mila menjelaskan dia sangat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk turut serta menjayakan konsert tersebut.
"Sebelum ini, Kementerian Pelancongan banyak menyokong artis tempatan untuk membuat persembahan di luar negara.

"Konsert ini turut bertindak sebagai satu mesej dan maklumat kepada pelancong asing yang tidak mempunyai pengetahuan tentang destinasi pelancongan di Malaysia," katanya.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Hanis Azla on December 15, 2010 at 11:30 AM said...

suka ngan Mila.. Suara best muka comey..
wah, lulu pages dah berwajah baru. Sangat cantik dan kemas.. Well done sis.. akak suka layout baru Lulu ni..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!