GEORGETOWN: Hasrat seorang pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) yang dalam perjalanan bertemu rakan serta neneknya yang akan menjalani pembedahan tidak kesampaian apabila terbunuh dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila mangsa, Ng Sweet Yuin, 27, dari Lebuh Maccalum, di sini, memandu Perodua Myvi seorang diri dari pusat bandar raya menuju Jambatan Pulau Pinang.
Seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui berkata, mangsa keluar rumah untuk bertemu rakannya sebelum menziarahi neneknya yang akan menjalani pembedahan di sebuah hospital hari ini (semalam).
Menurutnya, Ng baru pulang ke rumah Selasa lalu untuk bertemu neneknya, tetapi hasratnya tidak kesampaian apabila terbabit kemalangan terbabit.
“Ng dipercayai menjadi mangsa keadaan berikutan kelalaian pemandu lain menyebabkan dia pergi buat selama-lamanya dan saya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulai Pinang (HPP), di sini, semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu, kereta mangsa dipercayai bertembung sebuah Proton Satria dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dari arah bertentangan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, Proton Satria itu baru keluar dari sebuah stesen minyak kira-kira 300 meter dari tempat kejadian dan memasuki laluan bertentangan.
Katanya, siasatan turut mendapati lelaki berkenaan yang baru pulang dari luar negara dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Akibat rempuhan kuat itu, kereta mangsa terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas manakala bahagian depan kedua-dua kereta itu remuk teruk menyebabkan serpihan kaca bertaburan atas jalan.
“Mangsa dipercayai tersepit dalam kereta sebelum dibantu orang ramai yang membawanya keluar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan HPP,” katanya.
Jurucakap itu berkata, pemandu Proton Satria itu cedera di muka dan badan serta dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kemalangan termasuk mengambil sampel darah lelaki terbabit untuk ujian kimia bagi menentukan sama ada memandu di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke HPP dan hasil bedah siasat mangsa disahkan mati akibat parah di kepala dan dada.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Deputi Superintendan Abd Rahim Din, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum dua tahun atau maksimum 10 tahun dan denda RM5,000 atau maksimum RM20,000 atau kedua-dua sekali.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment