Gempa bumi kuat berukuran 7.3 melanda pulau Vanuatu di barat Pasifik semalam, mencetuskan tsunami kecil pada ketika dunia mengingati ulang tahun keenam tsunami besar yang meragut 220,000 nyawa di lautan Hindi pada 26 Disember 2004.
Pusat Amaran Tsunami yang berpusat di Hawaii berkata gempa bumi cetek itu mencetuskan tsunami, tetapi hanya berukuran 15 sentimeter dari paras biasa laut di Vanuatu.
“Pengukuran paras laut mengesahkan ada tsunami dicetuskan,” kata pusat itu dalam buletin diedarkannya.
“Tsunami itu berpotensi memusnahkan kediaman di tepi laut,” katanya, tetapi menarik balik amaran itu selepas terbukti tsunami itu kecil.
Gempa bumi itu melanda pada jam 12:16 pagi semalam (waktu tempatan) dan amaran asal tsunami meliputi Vanuatu, Fiji dan New Caledonia. Tidak ada laporan kecederaan atau kerosakan.
Jackie Philip, kakitangan di Hotel Port Vila di ibu negara Vanuatu berkata hotel itu dipenuhi pelanggan yang sedang menyambut hari Krismas.
“Beberapa daripada kami lari keluar untuk memerhatikan paras laut selepas gempa dan mendengar amaran tsunami di radio tetapi mendapati tiada apa yang berlaku,” katanya.
Jabatan kaji Bumi Amerika Syarikat berkata gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 12.3 kilometer dan berpusat 145 kilometer di barat Isangel di pulau Tanna, sebahagian daripada kepulauan Vanuatu.
Sementara itu, pulau selatan New Zealand juga dilanda gempa bumi sekuat 4.9 semalam.
Tidak ada kecederaan dilaporkan tetapi sekurang-kurangnya 20 bangunan di pusat bandar rosak akibat gempa bumi itu yang saintis berkata adalah di antara ratusan yang dicatatkan sejak gempa bumi 7.1 yang melanda Christchurch pada 4 September.
Gempa bumi terbaru itu berlaku beberapa jam selepas gempa di Vanuatu.
New Zealand dan Vanuatu terletak di ‘lingkaran api’ Pasifik yang – lingkaran zon gempa dan gunung berapi dari Chile di Amerika Selatan, ke Alaska dan Pasifik selatan.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment