Ibarat mati hidup semula. Seorang wanita nyaris maut apabila sebatang pokok besar berusia lebih 200 tahun tumbang dan menghempap kereta Perodua Kancil yang dipandunya di Jalan Pasar di sini pagi semalam.
Kejadian pukul 7 pagi itu berlaku ketika mangsa, Zuraidah Satri, 39, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang yang terletak berdekatan jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika mangsa melalui jalan tersebut, tiba-tiba sebatang pokok tumbang lalu menghempap kereta Kancil dipandunya.
Sebahagian daripada pokok itu turut menghempap sebuah rumah yang diduduki oleh seorang warga emas.
Akibat kejadian itu, katanya, mangsa yang berasal dari Kampung Belt, Labu Kubong, Chenderong Balai tersepit di tempat duduk dan cedera di kepala, badan dan kaki.
"Orang ramai yang lalu di kawasan itu membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menghantarnya ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang saksi, Rahman Salleh, 43, berkata, dia ketika itu sedang memandu keretanya di jalan berkenaan sebelum terdengar bunyi kuat seakan-akan guruh dan nampak tiang elektrik tumbang.
Katanya, dia kemudian melihat banyak kenderaan berhenti secara tiba-tiba seolah-olah ada berlaku sesuatu.
"Saya nampak pokok itu tumbang tidak jauh dari kereta saya dan saya berlari keluar dari kenderaan dan mendapati ia menimpa sebuah kereta Kancil," katanya.
Sementara itu, Zuraidah ketika ditemui di Wad Kecemasan HTI masih trauma dengan kejadian tersebut.
"Saya bersyukur kepada Allah kerana umur saya masih panjang terselamat dalam kejadian itu.
"Saya juga berterima kasih pada orang ramai yang menolong saya ketika tersepit di dalam kereta," katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment