Monday, October 18, 2010

KD, Raul boleh kahwin selepas 21 Disember


SECHAH Salem Sagram alias Silvalay Noor Athalia atau lebih dikenali dengan nama singkatnya, Ata, tidak sabar untuk bercerai dengan suaminya, Raul Lemos, yang juga kekasih penyanyi Krisdayanti atau KD.
Dalam kenyataannya kepada media minggu lalu, Ata juga menolak dakwaan kononnya dia sengaja melengah-lengahkan perceraiannya dengan Raul kerana mahu menghalang perkahwinan lelaki itu dengan selebriti terkenal Indonesia berkenaan.

“Ramai yang mendakwa saya menjadi penghalang perkahwinan Raul dengan KD. Saya dituduh menjadi punca proses perceraian itu lambat. Mereka menuduh, kerana saya, perkahwinan Raul yang dirancang sejak Februari lalu hingga bulan ini masih tidak dapat dilaksanakan,” kata Ata kepada wartawan Rabu lalu.

Ibu anak empat itu menjelaskan bahawa proses perceraiannya dengan Raul berjalan normal.

“Bukan saya melengah-lengahkannya. Memang proses perceraian di Timor Leste berbeza dengan di Indonesia.

“Di sana, pasangan suami isteri diberi tempoh enam bulan dari tarikh permohonan cerai dikemukakan untuk membolehkan mereka mencari jalan damai,” katanya.

Perbicaraan mengenai perceraian mereka mulanya ditetapkan pada 6 Ogos sebelum ditunda pada 6 September 2010.

Menurut Ata, setakat ini, dia dan Raul sudah dua kali menghadiri perbicaraan dan keputusannya akan diumumkan 21 Disember ini.


“Sudah jelas pada tarikh itu kami akan cerai. Dan terserah kepada mereka untuk memilih tarikh untuk berkahwin selepas tarikh berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, kerana masih belum bercerai, Raul, ahli perniagaan berasal dari Timor Leste, masih belum mendapat restu daripada keluarga KD untuk melangsungkan perkahwinan dengan penyanyi itu, yang juga bekas isteri pencipta lagu, Anang Hermansyah.

“Yang penting di sini bukan kata sepakat antara KD dan Raul, tetapi persetujuan antara Raul dengan keluarga KD,” kata peguam yang juga sahabat karib penyanyi itu, Elsie Lontoh.

Katanya, keluarga KD hanya akan menentukan pendirian mereka apabila Raul secara rasmi bercerai dengan Ata.

“Mereka hanya akan berbicara mengenainya apabila ada surat cerai. Mereka enggan bercakap kosong saja. Semuanya bergantung kepada status Raul secara rasmi,” kata Elsie.

Menurutnya, kerana masalah itu, KD dan Raul tidak mungkin berkahwin tahun ini.
“Tidak mungkin tahun ini. Mereka mungkin memerlukan setahun untuk membuat persiapan seperti katering dan undangan. KD tidak mahu perkahwinannya diadakan secara tertutup,” kata Elsie.
Dia enggan mengesahkan laporan kononnya majlis itu akan berlangsung Februari 2011 tetapi mengiakan bahawa KD sudah memesan gaun untuk majlis kahwinnya.
“Gaun itu akan dipakai KD pada hari perkahwinannya. Ia berbeza dengan gaun ketika KD melangsungkan perkahwinannya dengan Anang.

“Perkahwinan KD, dari gaun, pesta dan makanan yang akan disajikan akan berkonsepkan antarabangsa. KD, ketika bernikah dengan Anang sudah memakai cara tradisional,” kata Elsie.





Lelaki kahwin dua dalam tempoh 24 jam


Seorang pemuda Pakistan berumur 23 tahun, Azhar Haidri merancang untuk berkahwin dengan dua wanita dalam tempoh 24 jam. Rancangan itu mendapat perhatian ramai penduduk di Pakistan kerana pemuda tersebut mahu menyelesaikan dilema yang menghantui dirinya.

Dilema yang dihadapinya itu ialah dia jatuh cinta dengan seorang wanita berusia 21 tahun, Rumana Aslam.
Bagaimanapun, keluarganya mahu Azhar berkahwin dengan seorang wanita berumur 28 tahun, Humaira Qasim yang menjadi tunangnya sejak dia kecil.

Dia pada mulanya enggan untuk berkahwin dengan wanita pilihan keluarganya itu.
Namun, disebabkan ancaman kemungkinan keluarganya berpecah-belah, dia merancang untuk berkahwin dengan kedua-dua wanita tersebut.


"Saya membuat tawaran saya akan bernikah dengan kedua-duanya," kata Azhar sebelum dia bernikah dengan wanita pilihan keluarganya itu di bandar Multan semalam.
Menurutnya, kedua-dua wanita itu bersetuju untuk berkahwin dengannya.

Dia akan berkahwin dengan wanita pilihan hatinya itu pada hari ini.
Beberapa stesen televisyen di Pakistan merancang untuk membuat liputan majlis perkahwinan Azhar secara langsung kerana ia dianggap unik.

Kedua-dua wanita itu menyatakan mereka berpendapat tolak ansur merupakan satu cara penyelesaian yang terbaik.


Mereka merancang untuk hidup sebagai kakak dan adik serta rakan.

"Saya berasa gembira kerana kami akan menyintai lelaki yang sama," kata Rumana.
Azhar yang merupakan seorang pengamal perubatan herba menganggap dirinya bertuah.
"Adalah sesuatu yang jarang berlaku apabila dua wanita bersetuju untuk berkahwin dengan seorang lelaki," katanya.


P/S - huh ambik ko..(alasan je tu nak kawen lebih dari satu..)





Wanita mahu sperma dari mayat suami

MANHATTAN: Seorang janda memohon kebenaran mahkamah mendapatkan sperma daripada suaminya yang membunuh diri untuk membolehkan dia mendapat zuriat.
Menurut Victoria Chege, dia kesuntukan masa dan merayu hakim menerima permohonan itu bagi membolehkan impian suaminya, George Kamau, terlaksana.

Kamau, 37, menggantung dirinya di Norwalk, Connecticut, pada 11 Oktober lalu.

Victoria memohon mahkamah membenarkan dia mengambil sperma Kamau dan dibekukan sebelum dijadikan benih dalam rahim wanita lain.

Tidak dapat dipastikan mengapa Victoria enggan mengandung sendiri.

“Kamau memang berhajat mendapat waris sebelum dia menemui ajal,” katanya.

Justeru, Victoria memohon hakim membuat keputusan segera bagi memastikan keturunan Kamau berterusan.

Sementara itu, walaupun hakim memberi kebenaran, ia mungkin terlewat kerana sperma mesti diambil dalam tempoh 36 jam selepas seseorang mati.


P/S -Apa hukumnya dari pandangan islam ye?





2 pemuda maut kenderaan bertembung

KEADAAN dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Bagan Lalang, Butterworth, semalam.

Dua pemuda maut termasuk seorang daripadanya rentung setelah kenderaan yang mereka naiki bertembung sesama sendiri lalu terbakar di Jalan Bagan Lalang berdekatan depot kontena ICS Mak Mandin, di sini hari ini. Pemandu Perodua Viva, A. Mogan, 26, dari Taman Bagan Lalang Jaya meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah di kepala manakala pemandu Nissan Vanette, Lim Kui Thang, 25, rentung selepas kenderaannya terbakar.
Teman wanita Kui Thang, Loh Yuk Teng, 25, turut melecur dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supritendan Mohd Shukri Awang berkata, kemalangan berlaku pukul 6.45 pagi ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan untuk ke tempat kerja.
Menurutnya, Mogan keluar dari rumahnya di Taman Bagan Lalang Jaya untuk ke tempat kerja di Permatang Pauh manakala Kui Thang pula dari arah Permatang Pauh ke Butterworth untuk urusan perniagaan.
"Kenderaan yang mereka naiki bertembung menyebabkan van itu terbakar. Kejadian itu disedari oleh beberapa orang awam yang melalui jalan tersebut.
"Mereka membantu menarik mangsa keluar dari kenderaan yang terbakar namun disebabkan api marak hanya Yuk Teng berjaya diselamatkan," katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan untuk mengenal pasti punca kemalangan dan dalam masa sama mengharapkan orang ramai yang melihat kejadian itu tampil memberi maklumat mengenainya.





 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!