Saturday, November 6, 2010

Gunung Merapi mengganas


Angka korban Gunung Merapi di Pulau Jawa, Indonesia melepasi angka 122 orang manakala berpuluh-puluh lagi sesak nafas dan melecur selepas ia meletus semalam, kata beberapa pegawai.


Letusan kuat pada tengah malam Khamis lalu adalah enam kali ganda lebih kuat daripada letusan pertama pada 26 Oktober lalu dengan angka kematian keseluruhan setakat ini 122 orang.
Semalam, lebih 70 orang terbunuh selepas Gunung Merapi mengganas dengan menghamburkan awan panas.


Sebahagian mangsa terbaru yang mati itu ditemui anggota penyelamat sedang tidur dan bercakap menggunakan telefon.

Gunung Merapi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini adalah gunung berapi paling aktif di Indonesia dan ia menghamburkan awan setinggi 8,000 meter.


Jurucakap Hospital Sarjito, Banu Hermawan berkata: "Kami khuatir angka kematian akan terus meningkat kerana terdapat beberapa lokasi yang masih belum dapat dilawati kerana abu panas dan bahang gunung berapi."

Kebanyakan mangsa yang mati adalah kanak-kanak dari Kampung Argomulyo yang terletak sekitar 18 kilometer dari kawah gunung berkenaan.
Letusan semalam dan kelmarin turut mengeluarkan awan panas yang menyebabkan sejumlah rumah di zon bahaya musnah.


Di Brongang iaitu kira-kira 15 kilometer dari kawah Gunung Merapi, askar-askar mengeluarkan sejumlah mayat dari rumah-rumah yang hangus dilitupi abu setebal lima sentimeter sebelum mengumpulkannya di atas beberapa buah trak.
Berpuluh-puluh mangsa yang cedera dibawa keluar dengan menggunakan pengusung.


Keadaan mereka sangat mengerikan dengan baju dan selimut hangus melekat pada kulit selepas dibakar awan panas dikenali sebagai awan piroklas dengan suhu setinggi 750 darjah Celsius yang membakar paru-paru manusia.

Seorang penduduk kampung, Niti Raharjo, 47, yang dirawat di hospital kerana melecur di kaki berkata, dia bangun dan menghidupkan enjin motosikal untuk melarikan diri bersama anak lelakinya selepas mereka dikejutkan oleh gegaran kuat semasa sedang tidur pada tengah malam kelmarin.
"Kami diselubungi hawa panas dan terdapat asap putih di merata-rata tempat. Saya melihat orang ramai bertempiaran lari manakala beberapa wanita pengsan akibat terlalu takut," ceritanya.


Gunung Merapi kerap meletus sepanjang abad lepas.
Pada tahun 1994, 60 orang terbunuh dalam tempoh beberapa hari manakala pada 1930, 12 penduduk kampung terbakar hangus dengan kematian keseluruhan mencecah 1,300 orang.

Bahaya paling dahsyat adalah awan piroklas yang bergerak di cerun selatan Gunung Merapi sejurus sebelum tengah malam semalam pada kelajuan 100 kilometer sejam.
Haba panas yang dibawa awan itu seperti pembunuh senyap yang meragut nyawa penduduk kampung ketika mereka sedang nyenyak tidur.


"Saya menemui tiga mayat iaitu seorang kanak-kanak dan bapanya yang masih terbaring di katil mereka. Mereka sedang tidur apabila awan panas melanda rumah mereka," kata seorang anggota penyelamat, Utha.
Dia menghantar 10 mayat ke sebuah hospital di sini.

"Mayat-mayat mereka melecur teruk. Kami turut menemui satu mayat seorang lelaki yang masih memegang gagang telefon," tambahnya lagi.
Setiap kali meletus, Gunung Merapi mengeluarkan abu yang melitupi setiap benda termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.


Abu Gunung Merapi melitupi kawasan sejauh 30 kilometer dan menghalang sinaran matahari sekali gus memaksa para pemandu memasang lampu kenderaan mereka pada waktu siang.
Seorang ahli vulkanologi yang mengkaji Gunung Merapi selama beberapa tahun berkata, beliau kini keliru untuk meramalkan aktiviti gunung berkenaan yang seterusnya.
Menurutnya, beliau tidak pernah melihat gunung berapi setinggi 2,914 meter itu begitu aktif seperti yang berlaku sekarang.






Gambar manusia pertama di dunia


Gambar hitam putih yang menunjukkan seorang budak lelaki sedang mengilat kasut pelanggannya di Perancis dipercayai merupakan gambar fotografi menunjukkan aksi manusia pertama di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Gambar tersebut dirakamkan oleh perintis dunia fotografi, Louis Daguerre pada tahun 1838 di Boulevard du Temple di Paris, Perancis.

Ia diketahui wujud sejak lama dahulu tetapi mencetuskan minat di Internet baru-baru ini selepas beberapa ahli akademik dari Universiti Rochester mendakwa gambar fotografi manusia pertama dirakamkan di Cincinnati, Amerika Syarikat (AS) pada 1848.


Daguerre merakamkan gambar di Paris itu dengan menggunakan teknik daguerreotype (sempena namanya) yang memerlukaan pendedahan selama beberapa minit untuk membentuk imej di atas satu kepingan perak.
Kawasan Boulevard du Temple itu sibuk dengan orang ramai.

Namun, dalam gambar itu cuma terdapat seorang lelaki dan pengilat kasut.
Keadaan itu berlaku kerana budak pengilat kasut dan lelaki berkenaan di kawasan itu yang tidak bergerak untuk jangka masa agak lama sekali gus membolehkan imej mereka tertera pada gambar itu.

Louis Daguerre

Imej lelaki tersebut dikesan oleh seorang penulis blog, Gig Thurmond dalam blognya, The Hokumburg Goombah, yang mendakwa gambar itu adalah gambar fotografi pertama di dunia yang menunjukkan aksi manusia.





Maut sebelum sempat tegur pemandu


Niat seorang lelaki untuk menegur sikap pemandu yang memandu sebuah bas ekspres dengan laju tidak kesampaian apabila kenderaan itu terbabas ke dalam tali air dekat Sungai Miang di sini sehingga mengorbankan nyawanya.
Kejadian pukul 8.15 malam di Kilometer 20 Jalan Pekan-Nenasi di sini itu mengakibatkan graduan Ijazah Sarjana Muda Elektrik Universiti Tenaga Nasional, Ismail Natayuddin Hamdan, 25, mati di lokasi kejadian.
Ketika kejadian, bas itu membawa 33 penumpang. Empat lagi penumpang cedera parah dan dirawat di Hospital Pekan di sini manakala bakinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ismail Natayuddin dipercayai lemas selepas gagal diselamatkan apabila bahagian kiri bas itu terbalik ke dalam tali air tersebut.
Difahamkan, sebelum kejadian Ismail Natayuddin bersama seorang rakannya berada di barisan kedua tempat duduk di belakang pemandu. Mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuantan selepas mengikuti kursus latihan jalur lebar di Senai, Johor sejak sebulan lalu.
Rakannya, Mohd. Shukri Zahat, 25, memberitahu, beberapa minit sebelum kejadian, mangsa memberitahu hasratnya untuk menegur cara pemanduan pemandu bas tersebut.





'Nenek marah lambat solat'


JOHOR BAHRU: Perbezaan agama tidak menjadi halangan buat satu keluarga besar Islam untuk menyempurnakan mayat mendiang nenek mereka yang beragama Buddha di tanah perkuburan Cina Johor Jaya di sini, semalam.
Atas nama kasih sayang dan pertalian kekeluargaan yang kukuh, pengebumian Liang Ho, 95, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Landak Batu, Century Garden di sini, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, diuruskan 16 cucu dan 50 cicitnya yang beragama Islam.

Upacara pengebumian mengikut adat agama Buddha itu turut disaksikan satu-satunya anak perempuan Liang yang masih hidup dan beragama itu, Low Ah Oi, 62. Tiga anak Liang yang lain sudah meninggal dunia, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki memeluk Islam selepas berkahwin dengan pasangan masing-masing berketurunan Melayu manakala suaminya, Low Song meninggal dunia pada 1974.
Menurut cucu sulung mendiang, Hamidah Ahmad, 49, pemergian Liang amat dirasai berikutan hubungan kekeluargaan yang sangat rapat dengan nenek disebabkan sikapnya yang sangat mengambil berat hal keluarga.

“Ketika kecil saya dijaga nenek. Walaupun beragama Islam dan dia Buddha, itu tidak menjadi halangan untuk mencurahkan kasih sayang kepada seorang cucu.

“Nenek seorang yang tegas dan pernah beberapa kali memarahi saya kerana lambat menunaikan solat, menunjukkan dia amat prihatin serta menghormati agama lain.

“Dia sering menghantar saya mengaji al-Quran, jika malas nenek tidak teragak-agak merotan saya,” katanya. Seorang lagi cucunya, Kalsom Ahmad, 43, berkata, neneknya memiliki daya ingatan yang kuat walaupun sudah berusia 90-an dan dia masih boleh mengingati nama cucu-cucunya. “Walaupun tiga daripada empat anaknya memeluk Islam, nenek sangat sayangkan kami malah tidak ada pilih kasih dalam melayan kami.

“Malah, kami semua paling gembira setiap kali menjelang musim perayaan kerana kami menyambut tiga perayaan setiap tahun iaitu Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya.

Kalsom berkata, nenek juga sering mengingatkan mereka agar bersederhana dalam perbelanjaan harian kerana dia sudah terbiasa dengan kehidupan susah sejak zaman muda.

Sementara cicit pertama mendiang, Marfuaah Mahfuz, 28, berkata, dia dan ahli keluarga lain tidak kekok membantu menguruskan pengebumian moyangnya itu selain turut mengiringi jenazah mendiang hingga ke tanah perkuburan.

Katanya, bukan saja tidak pernah membezakan agama, moyangnya juga melarang mereka daripada menjamah makanan tidak halal hinggakan menu makanan istimewa pada majlis makan besar Tahun Baru Cina turut diubah kepada masakan Melayu.

Moyang yang manja dengan panggilan ‘Mama’ itu juga dianggap istimewa apabila meminati penyanyi Melayu kelahiran negeri ini, Mawi selain gemar menonton drama Melayu dan Indonesia di televisyen (TV) termasuk sinetron Bawang Putih Bawang Merah.

“Oleh kerana tidak mahu terlepas rancangan kegemarannya, Mama sanggup makan malam lebih awal sebelum duduk depan TV.

“Pling menarik, Mama tidak membaca akhbar berbahasa Cina, tetapi memilih Harian Metro sebagai bacaan kegemarannya.

“Saya sentiasa ingat pesan Mama yang tidak suka perbuatan kurang ajar apa lagi menderhaka kepada orang tua atau membuli ahli keluarga,” katanya.




Miley Cyrus Tertekan Ibubapa Bakal Bercerai


PENYANYI remaja Miley Cyrus kini sedang bersedih dengan kedua dua ibu bapanya yang bakal bercerai tidak lama lagi.
Setelah 17 tahun hidup bersama, Billy Ray Cyrus, 49, dan Tish, dikatakan tidak bersefahaman lagi dan telahpun memfailkan cerai pada 26 Oktober lalu.
Bagaimanapun, menurut sumber, Miley enggan berada di mana-mana pihak kerana masih menaruh harapan untuk ibu bapanya berbaik semula.
"Setakat ini dia tidak mahu sama ada berpihak pada bapa atau ibunya. Dia terlalu sedih dengan keluarganya yang bakal berpecah itu.
"Dia cuba menyimpan masalah keluarganya dengan rapi dan enggan kecoh kepada umum dengan harapan masalah mereka dapat diperbaiki semula," kata sumber kepada laman portal newkerala.com.
Dalam pada itu, Billy dan Tish turut memfailkan pembahagian tiga orang anak mereka termasuklah Miley.
Sementara itu, Billy pula berkata, dia dan Tish sedang melalui detik yang agak sukar dan berharap agar masyarakat luar memberikan sedikit ruang privasi kepada mereka.






Rita tertekan isu saman


KUALA LUMPUR: “Saya tidak tahu secara terperinci perjanjian antara ibu dengan mereka. Lebih merumitkan keadaan urusan itu dikendalikan peguam ibu, (Allahyarham Ahmad Kamil Abdul Karim).”
Itu komen Erni Dekritawati Yuliana Buhari, anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya terhadap saman dikemukakan dua ahli perniagaan terhadap syarikatnya, Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd (Nouvelle Beauty).

Saman difailkan pada 5 Ogos lalu mendakwa Nouvelle Beauty melanggar perjanjian jual beli tanah yang di atasnya mempunyai kedai pejabat bernilai RM3 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya. Dia yang lebih mesra dengan panggilan Rita berkata, apa yang diketahuinya, plaintif memang berminat membeli tanah itu dan pada mulanya Allahyarham ibunya hendak menjual, tetapi menarik balik hasrat itu serta mahu memulangkan semula wang.
“Semua proses itu dikendalikan Ahmad Kamil dan Allahyarham sepatutnya berjumpa mereka (plaintif) untuk menyelesaikan, namun selepas itu dia hilang bersama ibu,” katanya yang dihubungi, semalam.

Rita, 25, berkata, tindakan saman dua ahli perniagaan itu mengejutkan dia serta menyebabkan keadaannya sekarang agak tertekan.

“Saya cuba bersabar dan anggap ia satu lagi dugaan selepas kehilangan orang tersayang dalam keadaan mengejut. Saya juga ingin berterima kasih kepada mereka yang memahami masalah kami,” katanya.

Nouvelle Beauty dalam satu kenyataan berasingan pula berkata, pihaknya melantik peguam untuk meneliti dakwaan terbabit. “Peguam diarahkan untuk mempertikaikan dakwaan seperti dinyatakan di dalam saman itu di mahkamah,” kata kenyataan itu.

Khamis lalu akhbar melaporkan saman itu difailkan pada 5 Ogos lalu iaitu 25 hari sebelum Sosilawati, 47, dilaporkan hilang dan kemudian disahkan dibunuh mati bersama pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, pada 30 Ogos lalu.





 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!