Wednesday, December 29, 2010

Piala AFF Suzuki - Malaysia menang..


Malaysia mencipta sejarah membawa pulang trofi Piala Suzuki AFF buat julung kali meskipun tewas 1-2 dengan Indonesia pada final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Dengan keputusan itu, ia menjadikan agregat 4-2 kepada Malaysia selepas pasukan negara menang 3-0 ke atas Indonedia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Malaysia mendahului Indonesia 1-0 menerusi jaringan penyerang Safee Sali pada minit ke-53 pada final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno.

Pada minit ke-88 pula, Indonesia mendahului Malaysia menerusi jaringan Muhammad Ridwan untuk menjadikan kedudukan 2-1.


Pada babak pertama pula, Indonesia hampir mendahului selepas mendapat sepakan penalti pada minit ke-18 tetapi tendangan Firman Utina dapat diselamatkan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu, beberapa insiden membabitkan pancaran cahaya laser turut dilakukan penyokong, termasuk ketika Khairul menghadapi tendangan sudut, sepakan percuma dan penalti.


P/S - Tahniah Malaysia.......



.

Masuk kedai?


Keadaan sebuah kereta yang terbabas lalu merempuh masuk ke dalam sebuah kedai emas di pekan Sungai Way, Petaling Jaya. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.
 
 
 
.

Tak merokok sembilan bulan


Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semakin hampir membuang tabiat merokok apabila beliau tidak menghisap walaupun sebatang rokok selama sembilan bulan, lapor sebuah akhbar semalam.

Setiausaha akhbarnya, Robert Gibbs berkata, tiada tanda-tanda Obama merokok setelah beliau dinasihatkan supaya membuang tabiat buruk itu ketika menjalani satu pemeriksaan kesihatan pada Mac lalu.

"Prestasinya (Obama) untuk berhenti merokok amat baik. Obama membuat komitmen untuk berhenti merokok demi dua anak perempuannya," kata Gibbs dalam wawancara dengan saluran televisyen CNN baru-baru ini.

Menurutnya, Obama masih mengunyah gula-gula getah bernikotin tetapi beliau langsung tidak merokok selama sembilan bulan.

Sebelum ini, Obama berjanji kepada isterinya, Michelle Obama bahawa beliau akan berhenti merokok apabila memulakan kempen pilihan raya Presiden AS pada 2008.

Kelmarin, Obama dan isterinya bersama dua anaknya memesan dan makan aiskrim di Kailua, Hawaii semasa bercuti.

Keluarga rakan anak-anaknya turut bersama Obama makan aiskrim itu di sebuah kedai di Kailua.




.

Berusia 400,000 tahun?

Penemuan pakar arkeologi Israel ubah teori evolusi


BAITULMAQDIS: Pakar arkeologi Israel semalam berkata, pihaknya menemui bukti bahawa manusia moden wujud lebih lama daripada yang dijangkakan sebelum ini, sekali gus mengucar kacirkan teori asal usul manusia.

Satu pasukan penyelidik dari Universiti Tel Aviv yang membuat kajian di dalam sebuah gua di tengah Israel menemui gigi berusia 4000,000 tahun yang menyerupai gigi manusia moden yang digelar oleh saintis Homo Sapien.

Bukti kewujudan terawal Homo Sapien sebelum ini berusia separuh daripada usia itu.

“Ia adalah penemuan yang menarik,” kata pakar arkeologi Avi Gopher. Pasukannya memeriksa gigi itu dengan sinaran X dan pengimbas CT, seterusnya menganggar usianya berdasarkan lapisan tanah di mana gigi itu ditemui.

Beliau menjelaskan kajian seterusnya perlu dilaksanakan untuk mengukuhkan kesimpulan yang dibuat. Jika usia itu terbukti betul, beliau berkata: “Ia mengubah teori evolusi sekarang.”


Teori sains yang diterima sekarang ialah manusia moden menetap di Afrika 700,000 tahun lalu. Sekumpulan manusia moden itu berpindah ke Eropah dan berkembang menjadi Neanderthal yang kemudian pupus, manakala sekumpulan lagi kekal di Afrika dan berkembang menjadi Homo Sapien.
Gopher berkata, jika gigi ditemui itu dibuktikan adalah daripada Homo Sapien ini bermakna manusia moden berasal dari Israel.

Sir Paul Mellars, seorang pakar kajian purba dari Universiti Cambridge, berkata kajian Israel itu boleh diyakini, tetapi gigi yang ditemui masih belum dibuktikan daripada seorang manusia moden.

“Ia mungkin dari Neanderthal,” katanya.

Gopher berkata, pihaknya yakin dapat menemui tengkorak dan tulang manusia di dalam gua purba itu.

Gua Qesem itu ditemui pada 2000 dan kerja menggali bermula pada 2004. Gopher bersama rakan penyelidiknya, Ran Barkai dan Israel Hershkowitz menerbitkan kajian mereka itu di dalam American Journal of Physical Anthropology.



.

Tiga hari untuk balik rumah akibat salji


Seorang lelaki 72 tahun mengambil masa tiga hari memandu keretanya untuk pulang ke rumah dari Lapangan Terbang Gatwick di sini selepas keadaan bersalji menyebabkannya keliru.

Keluarga Mohammed Bellazrak melaporkan kehilangannya apabila dia gagal sampai ke rumah di Trowbridge selepas menghantar isterinya ke lapangan terbang.


Warga kelahiran Maghribi dan datuk yang tinggal di Wiltshire itu menghadapi masalah apabila alat satelit pada kenderaannya rosak dan tidak memiliki telefon bimbit, lapor akhbar The Metro.

Polis Oxfordshire menggunakan sistem pengesanan plet kenderaan untuk mengesan Bellazrak dan membantunya pulang.



.

Cahaya oren di langit cetus misteri


Satu cahaya ganjil berwarna oren dan merah muncul di langit Napier, Taranaki dan Christchurch, lapor akhbar dalam talian stuff.co.nz semalam.

Laporan kemunculan imej itu pada hari kedua selepas Krismas mencetuskan misteri sehingga terdapat spekulasi bahawa ia mungkin objek terbang tidak dikenali (UFO).
Bagaimanapun, Persatuan Astronomi Canterbury yakin bahawa ia merupakan cahaya dari satelit.

Di Hawara, Allan White dan keluarganya mengesan cahaya ganjil itu pada pukul 9.40 malam waktu tempatan Ahad lalu.

Mereka melihat imej ganjil itu selama lima minit dan ia kemudian hilang.

"Saya menganggap ia merupakan satu cahaya oren yang cerah di langit dan cahaya itu mula bergerak ke arah kami," kata White.

Menurutnya, ramai orang yang melihat imej itu menganggapnya sebagai UFO. Beberapa saksi dilaporkan menyuluh ke arah cahaya itu semasa ia bergerak di langit sebelum lenyap lima minit kemudian.




.

Tersangkut pada lubang dinding


Kepala seekor anjing tersangkut pada sebuah dinding di taman rumah milik tuannya di sini kelmarin. Kepala anjing berusia lapan bulan yang diberi nama Rebel itu tersangkut selepas ia mahu memeriksa lubang tersebut.

Nasibnya baik apabila seorang rakan tuannya mendengar salakan anjing tersebut dan menghubungi pihak berkuasa perkhidmatan haiwan.

Pegawai-pegawai sebuah agensi perkhidmatan haiwan yang tiba tersebut kemudian melipatkan telinga haiwan itu dan menolak muka Rebel ke belakang lubang tersebut.
Mereka mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melepaskan haiwan berkenaan



.

300 penyokong ke Jakarta


BEKALAN tiga gol dibawa pasukan negara ke Stadium Gelora Bung Karno boleh dianggap selesa andai pemain negara mampu menyerap tekanan beraksi di depan puluhan ribu penyokong fanatik pasukan tuan rumah hari ini.
Namun mereka tidak bersendirian berjuang kerana sekumpulan 300 penyokong pasukan kebangsaan memperjudikan keselamatan yang menjadi faktor tidak diberi jaminan.

Peminat dari Selangor, Kelantan dan Johor yang dikumpulkan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) dan Gerbang Tempur Penyokong Bola Sepak Malaysia (Ultras Malaya) berlepas ke Jakarta, semalam.
Presiden SSFC, Mohd Nasir Mohd Yunus berkata kehadiran penyokong negara di sana itu sudah dimaklumkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai jaminan keselamatan.

“Penyokong Malaysia tidak perlu takut kerana kekalutan mungkin hanya berlaku ketika perlawanan saja dan tidak akan merebak di luar stadium namun saya ingatkan penyokong agar sentiasa berwaspada,” katanya.

Semalam beberapa akhbar Indonesia melaporkan bahawa penyokong Malaysia tidak berani hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

Sehingga kini belum diketahui jumlah penyokong Malaysia yang akan bertandang ke stadium tersebut walaupun dilaporkan sejumlah 5,000 tiket telah diperuntukkan untuk mereka.

Mohd Nasir berkata beliau dan penyokong lain berharap dapat mengiringi kepulangan skuad kebangsaan bimbingan jurulatih K Rajagopal itu bersama Piala AFF Suzuki.

SSFC membawa penyokong negara dengan pakej yang merangkumi tiket penerbangan, hotel, tiket perlawanan serta kos pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel dan stadium.




.

Penjenayah parah ditembak



Seorang pengedar dadah yang cuba menyerang anggota polis dengan mengundurkan keretanya, cedera parah selepas terkena dua das tembakan ketika cuba melarikan diri di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Intan Baiduri, Kepong hari ini.
Kejadian berlaku pukul 11.15 pagi itu turut mencederakan empat orang awam termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, selepas dilanggar kenderaan yang dinaiki suspek.
Insiden bermula semasa anggota terbabit yang berpangkat lans koperal sedang meronda bersama dua lagi rakannya di kawasan itu dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

Mereka bagaimanapun terserempak dengan suspek yang berusia 26 tahun dalam keadaan mencurigakan berhampiran bulatan Batu Caves sebelum mengarahkannya berhenti.

Bagaimanapun suspek memecut sejauh empat kilometer sebelum berhenti di kawasan tersebut dan melanggar anggota itu dua kali sehingga menyebabkan motosikalnya terbabas dan terjatuh.
Anggota berusia 20-an itu yang cedera di kakinya kemudian melepaskan dua das tembakan dan mengenai suspek.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kenderaan suspek hilang kawalan lalu merempuh tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang kebetulan berada di gerai berdekatan.

"Seorang peniaga nasi lemak berusia 40 tahun dan kanak-kanak terbabit cedera ringan. Seorang wanita berusia 55 tahun patah tangan kanan dan seorang lagi yang berusia 36 tahun melecur di kaki kiri terkena ekzos kereta suspek.

"Suspek dan empat orang awam itu dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli memberitahu, polis menemui tujuh peket dadah jenis heroin di dalam poket seluar suspek selain di tempat duduk pemandu dan penumpang.

"Siasatan awal mendapati suspek memiliki lima rekod lampau, empat berkaitan kes dadah dan satu kes curi di Jinjang.

"Tiga saksi awam yang melihat kejadian sudah diambil keterangan manakala suspek yang sedang kritikal di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.




.

Dihukum mati

Seorang lelaki warganegara Pakistan yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah seberat 8,410 gram, Julai tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Faisal Shah, 25, selepas beliau berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Beliau dalam penghakiman ringkasnya menolak pembelaan tertuduh bahawa beg yang mengandungi dadah dan dibawanya semasa pemeriksaan, ditemui di dalam tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa tiba dari Karachi, Pakistan.

Faisal Shah didakwa mengedar 8,410 gram dadah campuran (7,701 gram heroin dan 709 monoacetylmorphines) di Bahagian Bagasi C, Aras 3, Balai Ketibaan, KLIA, Sepang pada pukul 12.40 tengah hari, 15 Julai 2009.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan, lapan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan manakala tertuduh memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi di peringkat pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Karpal Singh.




.

Akhirnya mereka bertemu

MOHD. SUBRI (kiri sekali) dan isterinya, Ani Ahmad (dua dari kanan) berbual dengan Van Quang dan Thi Bay serta Martin (kanan) di rumah mereka di Lepar Hilir, Kuantan semalam.

Pencarian sepasang suami isteri bekas warganegara Vietnam untuk menjejak seorang askar Melayu bernama Ali yang pernah membantu mereka semasa menjadi pelarian di Pulau Bidong, Kuala Terengganu di antara tahun 1979 hingga 1980 berakhir di sini semalam.

Van Quang Nguyen, 51, dan isterinya, Thi Bay Nguyen, 51, berjaya menemui lelaki tersebut yang nama sebenarnya Mohd. Subri Zainal Abidin di Gambang di sini.

Menurut Mohd. Subri, 54, beliau memperkenalkan dirinya sebagai Ali kepada pasangan itu kerana sebutan nama penuhnya sukar untuk disebut oleh orang Vietnam.

"Kalau saya perkenalkan diri saya sebagai Mohd. Subri, mereka sukar untuk menyebut. Jadi, saya perkenalkan diri sebagai Ali sebab nama itu mudah disebut," katanya semasa ditemui di rumahnya di Lepar Hilir, Gambang di sini.

Pada Julai lalu dilaporkan usaha pasangan Van Quang dan Thi Bay yang datang ke negara ini untuk mencari seorang askar Melayu bernama Ali yang membantu mereka semasa menjadi pelarian di Terengganu.




.

Lelaki 110 tahun ingin kahwin lagi


ALOR SETAR - Anda mungkin terkejut apabila seorang warga emas yang berusia lebih 100 tahun masih berkeinginan untuk berkahwin bagi mengubat kesunyian.

Biarpun mata kabur dan pendengaran kurang baik, namun Ahmad Md. Isa, 110, yang lahir pada 7 Oktober 1909 masih sihat dan mengingati kisah silamnya kelihatan bertenaga seolah-olah umurnya 70 tahun.

Beliau memberitahu, walaupun dia dijaga dengan baik oleh anak perempuannya, Fatimah, 64, namun dia masih berhajat untuk berumah tangga kerana mahukan teman untuk berkongsi hidup.

"Saya terasa sunyi tanpa teman. Tidur malam berasa takut, jika ada teman tidaklah berasa sunyi boleh bersembang dan bercerita kisah suka dan duka.




.

Penderitaan si kecil berakhir di sisi ibu bapa


“Saya sempat memangku Siti Zubaidah di riba saya ketika dia mengadu sukar untuk bernafas, tidak berapa lama kemudian dadanya berombak dan dia menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang.”

Demikian cerita Abdul Razak Ali, 56, yang sedih mengenai pemergian anaknya, Allahyarhamah Siti Zubaidah, kanak-kanak malang yang menghidap penyakit leukemia di Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang di sini kelmarin.

Kelmarin, kanak-kanak comel berusia empat tahun itu mengakhiri penderitaannya selama hampir enam bulan apabila dia meninggal dunia pada pukul 7.10 malam di rumahnya sambil ditemani kedua orang tuanya.

Mengimbas saat-saat akhir kematian anak bongsunya itu, Abdul Razak berkata, Siti Zubaidah tidak langsung menampakkan bahawa dia akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya ketika itu.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!