Tuesday, January 11, 2011

Ana Raffali..

SEBELUM berlangsung majlis Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL 25), pastinya ramai yang tidak menyangka bahawa lagu Tolong Ingatkan Aku mampu mengetepikan cabaran 13 buah lagu lain yang bertanding.

Tidak dinafikan, lagu nyanyian Ana Raffali itu sebenarnya langsung tidak memasuki senarai lagu yang boleh memberikan saingan hebat untuk AJL 25 kerana ramai pihak yang lebih bertumpu kepada pertembungan sengit yang membabitkan penyanyi seperti Yuna, Faizal Tahir dan Black.


Apa yang turut menjadi tumpuan apabila Ana berjaya menyingkirkan penyanyi yang menjadi pilihan ramai untuk bergelar juara iaitu Faizal Tahir yang sekadar meraih anugerah kategori persembahan terbaik menerusi lagu Hanyut.

Bagaimanapun, keputusan telah dibuat oleh barisan juri yang dilantik dengan memilih lagu nyanyian dan ciptaan Ana Raffali, meskipun ia mencetuskan sedikit kontroversi hingga menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak.

Bercerita mengenai kejayaan yang dikecapinya itu, Ana sendiri mengakui sangat terkejut sebaik sahaja namanya telah diumumkan sebagai pemenang pada malam itu.
 
Menurutnya, tidak terdetik di hatinya langsung untuk bergelar juara memandangkan kesemua lagu yang bertanding pada AJL 25 sangat hebat dan memiliki kekuatan masing-masing.
“Ini adalah satu kejayaan terindah yang pernah saya kecapi sebagai seorang penyanyi. Dapat menyertai AJL 25 adalah satu penghormatan terbesar, apatah lagi menjadi juara dalam pertandingan yang cukup berprestij ini.

“Saya sendiri masih tidak percaya dengan kejayaan ini. Namun, saya sangat bersyukur dan sudah tentu dengan kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya bergiat lebih aktif dalam penciptaan lagu,” ujarnya yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Ketika diminta mengulas mengenai kemenangan lagunya yang dipertikai dan menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak, Ana berkata dia tidak kecewa dengan keadaan tersebut. Ujarnya, setiap orang ada hak masing-masing dan kemenangan yang diraih itu adalah keputusan yang dibuat oleh para juri.

“Saya sedar bahawa lagu saya ini tidak popular serta jarang diputarkan di radio dan bukan merupakan calon pilihan mereka. Namun, saya bersyukur kerana para juri telah memilih lagu saya ini.

“Lagipun saya masih baru dalam industri muzik tanah air dan ini merupakan penampilan pertama dalam anugerah juara lagu. Apa yang saya mahu lakukan adalah cuba untuk memikat hati para pendengar agar dapat menerima lagu-lagu saya selepas ini,” ujarnya.

Menurut Ana, dia juga berharap agar para pendengar di luar sana dapat memberi peluang kepadanya kerana dia juga mempunyai impian untuk mengangkat martabat muzik tempatan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Menyentuh mengenai lagu Tolong Ingatkan Aku yang diciptanya itu, Ana menjelaskan ia adalah sebuah lagu yang berkaitan sesuatu yang begitu dekat dengan dirinya dan peringatan supaya menghargai yang disayangi terutamanya keluarga dan rakan-rakan.

ANA berkongsi kegembiraan meraih kemenangan besar pada Anugerah Juara Lagu Ke-25 bersama Aidit Alfian yang diundang sebagai pemain gitar mengiringi persembahannya di pentas.

“Lagu ini juga turut mengingatkan saya kepada kakak saya yang telah meninggal dunia. Mungkin secara kebetulan, tarikh dia meninggal dunia adalah pada 9 Januari 2003 dan hari ini genap lapan tahun dia meninggalkan kami sekeluarga,” ujarnya.



Perang siber kerana Ana Raffali

Kredit : http://atieaizam.blogspot.com/2011/01/facebook-kami-tidak-bersetuju-ana.html

Kemenangan Ana Raffali menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku pada Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) anjuran TV3 kelmarin ternyata kurang disenangi sesetengah pihak.

Selain tindakan penonton yang terus meninggalkan Stadium Putra Bukit Jalil sebaik sahaja lagu berkenaan diumumkan sebagai pemenang, terdapat banyak komen yang mempertikaikan pemilihan lagu itu dalam blog tempatan.

Ada yang menulis lagu itu membosankan, tidak ada daya penarik selain tiada kekuatan yang diperlukan untuk diangkat sebagai juara.

Rasa tidak puas hati itu mendorong pihak tertentu melepaskan rasa tidak senang mereka di Internet termasuk mewujudkan akaun Facebook dengan menggunakan nama 'Kami Tidak Bersetuju Ana Raffali Menang AJL25'.

Memetik beberapa kritikan daripada akaun Facebook itu seperti : 'Ana Raffali menyanyi sambil menguap tak sedap langsung', 'Tolong Ingatkan Aku? Memang aku tak nak ingat dia yang menang', 'Aku tak kisah orang lain tetapi kenapa Ana Raffali' dan 'Ana Raffali penyanyi syok sendiri suara tak sedap dan lagu entah apa-apa.'



Juri AJL25 Bertelagah?


Ketika ketua juri Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) M.Nasir mempertahankan keputusannya memilih lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Rafalli sebagai pemenang pertandingan itu, salah seorang panel juri melihat keputusan berkenaan sebagai kurang tepat.

Komposer Azmeer berkata, dia sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan itu dan secara tidak langsung menandakan Ana Raffali tidak layak untuk diangkat sebagai pemenang.

“Secara jujurnya saya tidak bersetuju dengan kemenangan itu. Siapakah artis yang saya rasa layak menjadi pemenang biarlah saya rahsiakan dulu buat sementara waktu,” katanya.

Kemenangan itu menimbulkan perdebatan sehingga ramai penonton di stadium meninggalkan kerusi masing-masing sebaik sahaja keputusan diumumkan.
Ketika diminta mengulas kenapa lagu berkenaan tidak boleh diangkat sebagai juara, Azmeer enggan memberi sebarang komen sehinggalah apabila dia mendengar pendapat M.Nasir dalam Imbasan AJL25 pada malam Selasa (malam ini).

Sorotan mengenai pertandingan berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 pukul 11 malam.
Selain M.Nasir dan Azmeer, juri kali ini terdiri daripada Habsah Hassan, Acis, Pacai, Amy (Search) dan Andy (Flop Poppy).

Penyanyi Amy Search pula berkata, dia hanya terlibat menilai dari aspek vokal dan bukannya melibatkan lagu yang dipertandingkan.


Bagaimanapun secara peribadi Amy turut terkejut dengan keputusan itu kerana dia lebih mengharapkan penyanyi Yuna yang membawa lagu Cinta Sempurna diangkat sebagai juara dengan alasan lagu berkenaan menusuk hati.


Bersifat jujur - M.Nasir

Sementara itu M.Nasir pula berkata lagu nyanyian Ana Raffali itu bersifat sensitif, peribadi dan jujur.

“Lagu itu mempunyai rasa. Itu yang penting dan yang kita cari sebenarnya. Sama ada betul atau salah, keputusan itu dibuat dengan penuh kesedaran, penuh pengetahuan muzik, cita rasa dan pembaharuan.

“Lagu ini dikategorikan sebagai lagu terbaik tetapi mungkin penonton rasa lagu ini tidak ‘besar’. Saya melihat kepada kekuatan lirik dan lagunya. Ada kebanyakan lagu yang lemah pada lirik atau lagu dan kedua-duanya,” kata M. Nasir pada sidang media selepas acara itu di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, malam Ahad lalu.

Biarpun keputusan sudah dilakukan, M. Nasir sedar pasti ada pihak yang akan membuat pertikaian.
“Saya suka pesona melodi dan kejujuran lagu ini berbanding lagu lain. Lirik lagu Tolong Ingatkan Aku lain dari yang lain dan bagus.

“Sebagai ketua juri, saya memilih lagu dan lirik yang bagus dan bukan yang popular,” ujarnya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan yang ditemui berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat kerana segala-galanya adalah terletak di tangan juri.

“Semua kena tanya M.Nasir," katanya


P/S - Perasan tak Buletin Utama TV3 semalam, sblm habis berita, menyiarkan imbasan AJL 25...Dan tiada Ana Rafali didalam imbasan itu?...





.

3 Penyokong CHELSEA:

Hanis Azla on January 11, 2011 at 10:08 AM said...

bagi akak ana rafalli layak menang.. dia berbakat dan idea dia best & fresh..

Unknown on January 11, 2011 at 10:41 AM said...

perasan....saya pun x brapa setuju dia menang..tapi xder la sampai nak boikot dia...

karl on January 11, 2011 at 12:13 PM said...

haha kelakarnya, peminat bukan pilih lagu tapi pilih penyanyi, memang kita ada opinion, tapi kalo lain dgn juri jgn la nak naik angin. Abg Nasir lg pengalaman dlm bidang ni....haha

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!