Tuesday, January 18, 2011

Empat hari RM2.5 juta


ERCUBAAN pertama pengarah muda, Syamsul Yusof menghasilkan filem seram, membuahkan hasil apabila Khurafat - Perjanjian Syaitan membuka tirai 2011 dengan kutipan membanggakan, RM2.5 juta untuk tempoh empat hari tayangan.

Filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd yang turut ditunjangi Syamsul sebagai watak utama bersama Liyana Jasmay, Sabrina Ali, Salina Saibi, Fauziah Nawi, Mariani dan Latif Borgiba, mendapat perhatian peminat filem Melayu sejak mula ditayangkan di pawagam pada 13 Januari lalu.

Produsernya, Datuk Yusof Haslam berkata, kejayaan ini cukup membanggakan kerana ia percubaan pertama Syamsul untuk mencuba pelbagai genre selepas dikenali dengan filem aksi.

Katanya, sebagai bapa sudah tentu memberi galakan sepenuhnya kepada Syamsul dan turut memberi tunjuk ajar terutama bagi genre seram yang ada kaitan dengan agama.

“Ternyata sentuhan pertamanya mendapat maklum balas cukup baik daripada media dan peminat filem Melayu. Sejak pra-tonton dengan media lagi, mereka mengatakan filem ini ada potensi mencatat kutipan yang baik.

“Tinjauan kami ke beberapa panggung juga menunjukkan sambutan memang meriah. Paling membanggakan, apabila mereka memberi tepukan apabila selesai saja tayangannya.

“Sememangnya sambutan diberikan untuk Khurafat paling meriah berbanding tiga filem arahannya sebelum ini, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift 2.

“Bagaimanapun, dari segi jumlah kutipan untuk empat hari, ia hampir sama dengan KL Drift 2,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Yusof berharap Khurafat turut mencatat kejayaan besar seperti KL Drift 2 yang mencatat lebih RM5 juta.

Katanya, berdasarkan kutipan empat hari tayangan, pihaknya yakin Khurafat mampu mengulangi kejayaan KL Drift 2.

“Kejayaan awal ini memberi kepuasan dan semangat kepada Syamsul yang begitu berdebar-debar menantikan tayangannya sebelum ini.

“Waktu sama, Syamsul kini sibuk di lokasi filem barunya, lanjutan dari filem Bohsia, Jalan Kembali yang memulakan penggambaran di Dataran Merdeka, hari ini (semalam).

“Skripnya lebih kemas dan sarat dengan mesej untuk memimpin mereka kembali ke jalan yang benar.

“Semangat ini Syamsul dapat selepas menghasilkan Khurafat yang banyak paparkan pengajaran agama,” katanya.

Mengenai rahsia kejayaan Khurafat, Yusof tidak menolak kejayaan Syamsul di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) untuk Pengarah Terbaik turut membantu kerana mereka ingin melihat sentuhan terbarunya, apatah lagi menerusi genre seram.

“Walaupun kejayaannya di FFM23 dipertikaikan, ternyata ada kemanisan apabila Syamsul turut meraih kejayaan di Anugerah Skrin 2010, begitu juga pencalonannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) untuk Pelakon Filem Lelaki Popular,” katanya.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!