Friday, January 28, 2011

Kejutan buatmu..


HANYA senaskhah al-Quran yang dipinta oleh pembaca berita Buletin Utama, Azwaliza Azman (Wawa), 30, sebagai mas kahwin pernikahannya. Namun kejutan diberikan oleh Kadir Rashid pada hari perkahwinan mereka ialah RM20,000 sebagai mas kahwin.

Itu belum masuk kejutan untuk jumlah wang hantaran RM50,000 yang diberikan oleh Kadir, 32, sebagai rasa penghargaannya terhadap keikhlasan serta tanda cinta buat si isteri.
Pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 22 November 2009 itu selamat melayari bahtera perkahwinan pada malam Sabtu, 22 Januari lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tepat pukul 6.35 petang.

Berwalikan bapanya, Azman Abdullah, Wawa dan Kadir dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd. Haiyazid Mohammad.
"Alhamdulillah, syukur sangat setelah empat tahun saling mengenali akhirnya kami disatukan sebagai suami isteri.

"Rasa lega, sebak dan seperti tidak percaya Kadir sudah menjadi suami saya. Macam mimpi pun ada. Sekarang saya sudah bersedia menghadapi dugaan sebagai suami isteri," kata Wawa yang kelihatan bergenang air mata selepas sah diijabkabulkan.

Ditanya tentang jumlah mas kahwin dan wang hantaran RM70,000 yang diberikan kepadanya, kata Wawa, dia langsung tidak tahu tentang kejutan yang diberikan oleh Kadir buat dirinya.
"Saya memang terkejut sebab masa bertunang dahulu kami tidak pernah berbincang pun tentang wang hantaran. Cuma mas kahwin sahaja saya minta senaskhah al-Quran.

"Bagi saya, kehadiran Kadir dalam hidup saya pun sudah cukup baik. Tetapi saya bersyukur sangat kerana ini sebagai tanda penghargaan yang ditunjukkan oleh Kadir kepada saya," kata Wawa sambil mengukir senyuman.
Berkenalan di sebuah kedai telefon bimbit di Bangsar, Kuala Lumpur empat tahun lalu, rupa-rupanya menjadi detik awal bercambahnya kasih di antara mereka.

Biarpun pernah terputus hubungan selama setahun, Wawa dan Kadir bagaimanapun bertemu kembali di PWTC di mana ketika itu Wawa sedang bertugas membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO tahun 2008.
Daripada situ, kasih di antara mereka kian mekar dan akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan mahligai bersama.
"Saya terima dia sebab dia bertanggungjawab. Bayangkan dia sanggup konvoi menghantar saya pulang ke rumah setiap kali apabila saya ada tugasan waktu malam dan ini berlarutan sehingga beberapa bulan.

"Mungkin kerana dia anak sulung jadi tanggungjawab itu memang ada dan perasaan sayang mula berputik bila tengok Kadir ada ciri-ciri kepimpinan itu.
"Kami banyak persamaan. Punya pemikiran dan minat yang sama. Malah, seperti kawan-kawan, kami suka bergurau sesama sendiri," kata Wawa lagi.

Pada majlis tersebut, pasangan itu bertukar-tukar dulang hantaran iaitu sembilan dulang daripada Kadir berbalas 11 dulang daripada Wawa.
Selain wang hantaran RM50,000, hantaran lain yang turut dibawa oleh Kadir adalah sirih junjung, cincin pernikahan, senaskhah al-Quran, jam tangan dan manisan.

Hantaran balas daripada Wawa pula termasuklah sirih junjung, cincin perkahwinan, wangian, manisan dan jam tangan.
Pasangan itu turut diraikan oleh hampir 1,000 tetamu jemputan pada majlis resepsi di Dewan Merdeka, PWTC pada sebelah malam pernikahan mereka.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!