Friday, January 14, 2011

Kritikal ditembak


Seorang ahli perniagaan kritikal setelah ditembak dua das di hadapan premis perniagaannya di Jalan Siput Akek, Taman Billion, Cheras di sini hari ini. Mangsa berusia 52 tahun itu difahamkan baru melangkah keluar dari kenderaannya, Ssangyong Rexton untuk ke pejabat, sebelum muncul dua lelaki berusia 30-an menaiki kereta Perodua Myvi.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, salah seorang daripadanya kemudian melepaskan dua das tembakan yang mengenai rusuk dan paha mangsa.
Menurut saksi yang bekerja sebagai pembantu di restoran berhampiran, dia melihat seorang lelaki keluar dari sebuah kereta lalu mengacu 'sesuatu' kepada mangsa.

Katanya, sejurus kemudian dia terdengar letupan yang seakan-akan bunyi mercun.
"Ketika itu mangsa baru sahaja keluar dan mengunci keretanya. Keadaan berlaku begitu pantas sehingga saya tidak mampu mengecam nombor pendaftaran kereta suspek.

"Saya melihat mangsa terbaring berlumuran darah dan nyawa-nyawa ikan sebelum dihantar ke hospital oleh orang awam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya yakin kes itu dapat diselesaikan berikutan pelbagai maklumat yang telah diperoleh.

"Mangsa cedera di paha dan rusuk setelah ditembak dua kali ekoran penemuan dua kelongsong peluru di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini menyiasat latar belakang mangsa selain mendapatkan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!