Shahrul hanya berkurung dalam rumah, harap ihsan ibu
LANGKAWI: Dia mahu bekerja bagi meringankan beban ibunya, namun kecacatan muka sejak lahir akibat penyakit Ensephalacelo atau lebihan cecair otak membuatkan Shahrul Nizam Shuib, 31, malu dan hanya berkurung di dalam rumah.
"Saya kasihan melihat ibu yang sudah tua terpaksa bekerja bagi menyara hidup keluarga. Saya mahu buat kerja apa saja, asalkan dapat wang dan boleh beli beras untuk sepinggan nasi serta sehelai dua pakaian ala kadar untuk menutup badan.
"Dalam keadaan begini (kecacatan muka) sukar bagi saya untuk keluar rumah, malah belum tentu majikan mahu mengambil saya bekerja," kata pemuda itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuah, di sini, semalam.
Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu berkata, dia hanya bersekolah setakat Tahun Satu sebelum mengambil keputusan berhenti sekolah kerana tidak tahan diejek rakan.
"Sejak sekian lama, hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah, kami juga tiada pilihan dan terpaksa tinggal di rumah subsidi kerajaan yang dibina di atas tanah orang.
"Walaupun benjol daripada bahagian dahi hingga hidung, ia tidak sakit tetapi menyebabkan muka kelihatan tidak sempurna dan saya malu untuk berdepan orang ramai," katanya yang buta huruf kerana tidak bersekolah.
Ibunya, Isyah Yunus, 63, yang bekerja mengambil upah mengupas kelapa, membuat kuih dan menolong jiran berniaga adalah ibu tunggal selepas kematian suaminya, Shuib Ali kira-kira 17 tahun lalu.
Isyah berkata, dia pernah beberapa kali membawa Shahrul Nizam berjumpa doktor di Hospital Langkawi (HL), di sini sejak lahir bagi mendapatkan nasihat dan rawatan sesuai bagi mengubati penyakit ganjil anaknya itu.
"Pihak hospital ada memaklumkan jika mahu melakukan pembedahan ke atas Shahrul (Nizam), dia terpaksa menanggung risiko tinggi kerana ada kaitan dengan lelehan cecair otak yang membentuk benjolan sebesar penumbuk itu.
"Sejak itu, kami tidak pernah berfikir untuk buat pembedahan kerana mahu makan anak beranak pun susah, apa lagi untuk cakap mengenai pembedahan yang menelan belanja tinggi," katanya sambil menahan sebak.
Katanya, dengan pendapatan tidak menentu, dia tidak mampu mengumpul wang untuk membolehkan Shahrul Nizam dibedah, malah kudratnya kian berkurangan untuk terus bekerja bagi menampung belanja harian.
"Saya redha dengan apa yang berlaku, tetapi berharap ada pihak sudi membantu membiayai rawatan anak saya supaya dia tidak malu untuk keluar rumah dan bekerja bagi menyara hidupnya selepas ketiadaan saya kelak," katanya
.
2 Penyokong CHELSEA:
hi lulu..thanks for visiting my blog...i follow u..:P
@Iryd and Pitt's little diary tenkiu..ngee
Post a Comment