Sunday, January 30, 2011

Mati lemas di kolam renang hotel


Sambutan Tahun Baru Cina minggu depan pasti tidak bermakna buat satu keluarga apabila salah seorang daripada anggota keluarganya mati lemas ketika mandi dalam kolam renang di sebuah hotel, di sini semalam.
Mayat mangsa, Tan Kaw Liong, 36, peniaga dari Alor Mengkudu di sini ditemui oleh penyelamat renang hotel tersebut pukul 5.30 petang.

Kaw Liong dikatakan ke kolam tersebut bersama dua lagi anaknya berusia tiga dan enam tahun yang mandi di kolam kanak-kanak bersebelahan.
Menurut ibu mertua mangsa, Ooi Swee Keow, 61, menantunya itu mengadu sakit dada sejak beberapa hari lalu.

"Saya telah menasihatkan dia tidak berenang tetapi dia mahu keluar juga bersama-sama anaknya dan tak disangka jadi begini.

"Ini berita yang sangat menyedihkan kami sekeluarga terutama ketika menjelang Tahun Baru Cina," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Penyelamat renang, Mohd. Rosidi Mohd. Ali, 37, memberitahu, ketika kejadian dia mandi di bilik air bersebelahan kolam sebelum dimaklumkan dua kanak-kanak mengenai seorang lelaki lemas di dalam kolam.
Katanya, dia yang bergegas ke situ mendapati seorang lelaki tenggelam di dasar kolam renang tersebut.

"Saya cuba memberi pertolongan cemas dan menekan dada mangsa tetapi gagal. Saya juga memegang nadi mangsa tetapi mangsa sudah mati," katanya yang sudah empat tahun bekerja di situ.
Mohd. Rosidi mendakwa ketika kejadian ada seorang lagi penyelamat bertugas, namun hairan kerana anak mangsa tidak meminta bantuan petugas tersebut.

Sementara itu, pengurus hotel yang mahu dikenali sebagai Chong memberitahu, mangsa bukan pelanggan di premis tersebut, namun sebelum kejadian mangsa sempat membeli barang di situ.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Adzman Mohd. Jan berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas.
"Kejadian disedari dua kanak-kanak yang nampak ada orang tidur dalam kolam. Tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Nadhirah AR on January 30, 2011 at 1:17 PM said...

kesiannye . tapi dah takdir , takde sape boleh lawan kan .

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!