KENYATAAN Noraniza Idris baru-baru ini mengenai perancangan terbarunya untuk berkahwin dengan seorang duda beranak empat yang berasal dari Singapura, agak mengelirukan banyak pihak.
Ini kerana penyanyi itu dengan tiba-tiba membuat menafikan bahawa dia memilih Jun sebagai tarikh pernikahannya. Malah, Noraniza juga menafikan bakal suaminya pemilik sebuah syarikat agensi pelancongan.
Pun, dia mengakui lelaki yang bertakhta di hati ratu etnik itu bernama Jeffri Iman, berusia 51 tahun.
Tidak menafikan bahawa dirinya memang sedang rapat dengan Jeffri, kata Noraniza dia bagaimanapun tidak pernah menetapkan tarikh atau bulan apa untuk melangsungkan perkahwinan.
Ini kerana bagi Noraniza, soal perkahwinan lebih baik diserahkan kepada keluarga meski mengaku ada cinta dalam hati mereka berdua.
"Sebetulnya, saya tak kata pun saya mahu berkahwin pada bulan Jun atau apa-apa bulan sekali pun.
"Saya cuma cakap, sekiranya Tuhan menetapkan yang saya akan berkahwin tahun ini, maka saya akan kahwin dan tidak akan menolak. Tak pernah saya merancang untuk berkahwin pada waktu bila atau bagaimana.
"Sebab sekarang saya lebih suka membiarkan keluarga saya terutamanya abang sulung, Mohd. Arshad untuk membuat keputusan mengenai soal perkahwinan saya.
"Tiada alasan lain cuma satu, saya tidak mahu tersalah buat pilihan dan akhirnya saya akan melukakan hati keluarga lagi, " katanya.
Menurut anak kelahiran Kluang, Johor ini lagi, dia tidak bersetuju dengan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bakal suaminya itu merupakan seorang lelaki berada.
Kata penyanyi berdarah kacukan Bugis-Arab ini, dia tidak pernah meletakkan batu aras berhubung taraf kekayaan lelaki yang ingin mendampinginya selama ini.
Ini kerana, katanya, Jeffri cuma lelaki biasa dan dia bukanlah seorang lelaki berharta dan memiliki syarikat sendiri sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini.
"Ingin saya betulkan, Jeffri hanyalah lelaki biasa. Dia merupakan seorang kakitangan di sebuah syarikat agensi pelancongan.
"Dia menguruskan mana-mana kumpulan pelancong asing yang ingin memasuki Malaysia di bawah urusan Noraniza Idris Production (NIP).
"Urusan biasanya berkaitan dengan program-program yang diselaraskan di bawah Akademi Tatihseni milik saya.
"Jadi, saya harap semua pihak jelas mengenai perkara ini kerana dakwaan yang mengatakan dia merupakan seseorang yang berkedudukan adalah tidak benar," katanya.
Jeffri istimewa
Pernah berjanji untuk tidak mahu berkahwin lagi gara-gara serik dengan lelaki, Noraniza bagaimanapun tidak mampu untuk menghalang kehendak Tuhan.
Apatah lagi selepas dia menemui kegagalan sebanyak dua kali ketika bergelar isteri kepada Mohamad Fauzi Ahmad Tajuddin atau Fareez yang dikahwininya 23 tahun lalu dan juga ketika berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang mana perkahwinan itu cuma mampu bertahan selama 12 hari.
Bagaimanapun, kata ibu kepada Mohd. Aliff Haikal, 22, dan Mohd. Alfeeq Haikal,17, ini, dia tidak menyangka pintu hatinya kembali terbuka untuk menerima kehadiran Jeffri yang dipanggilnya 'Abang'.
"Kami dah lama kenal dan kali pertama kami bertemu adalah semasa saya terlibat melakukan kerja amal di sebuah masjid di Johor Bahru sekitar pertengahan tahun lepas.
"Saya memang sudah tahu dia menduda sudah 11 tahun dan mempunyai empat orang anak lelaki. Pada saya dia seorang lelaki yang unik, berbudi bahasa, sopan tutur bicaranya dan merendah diri.
"Dia juga seorang yang spontan dalam memberi teguran atau ingatan dan punya pegangan agama yang tinggi.
"Mungkin kerana itu saya kembali membuka hati untuk menerima dia dalam hidup saya walaupun jauh di sudut hati rasa serik untuk berkahwin itu masih ada," katanya.
Bersedia untuk membina rumah tangga buat kali ketiga, kata Noraniza, secara peribadi dia percaya bahawa perkahwinan mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap status janda yang disandangnya selama lima tahun lepas.
"Jika ada pasangan hidup orang akan hormat saya sebagai isteri orang dan setidak-tidaknya saya akan rasa lebih selamat," ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana penerimaan dua anaknya terhadap Jeffri, Noraniza memberikan jawapan positif.
Kata pengetua Akademi Tatihseni ini, anaknya, Aliff dan Alfeeq menerima Jeffri dengan baik setakat ini dan ia seolah-olah memberi isyarat bahawa mereka merestui hubungannya dengan lelaki itu.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment