Seorang wanita mengandung tiga bulan maut apabila kereta yang dinaiki dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan di Kampung Tok Dor, Besut malam semalam.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam, mangsa, Nor Amami Salleh, 28, yang mengandung anak sulung dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Bukit Jeruk bersama suaminya, Che Razali Che Zahari, 23.
Mereka berdua yang mengusahakan kantin di Kota Bharu, baru selesai makan malam di sebuah restoran tidak jauh dari kampung itu bersama ahli keluarga suaminya yang menaiki kereta lain.
Tiba di tempat kejadian, Che Razali yang cuba membelok masuk ke kanan di laluan Kampung Bukit Jeruk, dirempuh sebuah kereta Proton Persona dari arah belakang yang cuba memotong.
Kereta Proton Persona itu merempuh belakang sebelah kanan kereta Perodua Viva dinaiki mangsa menyebabkan kenderaan tersebut berpusing beberapa kali lalu terbabas ke kanan jalan.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala telah dikejarkan ke Hospital Besut dan disahkan meninggal dunia pukul 12.30 tengah malam manakala suaminya hanya cedera ringan.
Kereta Proton Persona itu pula remuk di depan dan pemandunya dikatakan terus memecut tetapi terpaksa meninggalkan keretanya di tepi jalan kerana terbakar.
Difahamkan ketika jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh tiba untuk memadamkan kebakaran itu, pemandunya melarikan diri.
Ketua Polis daerah, Supritendan Kamarudin Mohd Zakaria Mohd. Zakaria ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.
Sementara itu, bapa mertua mangsa, Che Zahari Che Wil, 48, berkata, sebelum kejadian dia berada di belakang kereta mangsa menggunakan isyarat tangan untuk masuk ke kanan jalan.
Dia bagaimanapun terkejut apabila tiba-tiba sebuah kereta merempuh kereta yang dinaiki oleh anak dan menantunya.
Katanya, dia melihat kereta Proton Persona itu berhenti tidak jauh dari lokasi dan pemandunya memecut laju apabila dia cuba mendekati kereta tersebut.
Jenazah mangsa dibawa pulang untuk dikebumikan di Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan hari ini.
.
1 Penyokong CHELSEA:
kurang ajar punya drebar persona. mana dia nak lari? jumpe gak nanti.
Post a Comment