Wednesday, January 19, 2011

Kisah sedih kehilangan anak akibat denggi

Lau Hoi Keong (kiri) meninjau longkang dan kawasan sekitar Taman Sejahtera, Kepong, Kuala Lumpur sempena lawatannya ke rumah keluarga kematian anak akibat denggi, baru-baru ini.

Pengalaman seorang wanita yang kehilangan anak berusia lima tahun pada 25 Disember lalu akibat demam denggi diharap akan menjadi iktibar kepada masyarakat terutama penduduk Taman Sejahtera di Kepong di sini.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Gheeta, 30, mengakui masih merasai kesedihan kehilangan anak bongsunya itu tetapi tidak mahu menyalahkan sesiapa atas apa yang menimpa anaknya itu.

Sebaliknya, dia tampil untuk berkongsi pengalaman itu dengan harapan masyarakat akan menyedari kepentingan menjaga alam sekitar supaya bebas daripada nyamuk aedes.

"Apa yang saya harap terutama daripada jiran tetangga ialah supaya lebih prihatin agar kejadian sama tidak berlaku kepada ahli keluarga mereka," katanya pada sidang akhbar yang diatur bersama Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kepong, Lau Hoi Keong di sini baru-baru ini.

Menceritakan apa yang berlaku, Gheeta berkata, pada mulanya dia membawa anaknya itu, Krisya ke klinik swasta berhampiran selepas dia diserang demam, diikuti sakit telinga dan kerongkong.

Setelah dimaklumkan keadaan Krisya, doktor memberi ubat dan mereka sekeluarga kemudiannya berlepas ke India.

Namun, sebaik sampai ke negara berkenaan, keadaan kesihatan anaknya dikatakan semakin teruk sehinggalah membawanya kepada kematiannya dua hari selepas itu.

Sementara itu, Hoi Keong berkata, sikap kurang memberi kerjasama dan mengabaikan penjagaan kebersihan di sekitar kawasan tempat tinggal menjadi punca utama demam denggi masih gagal dibanteras.

Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kepong merupakan kawasan hitam yang dikenal pasti paling serius ancaman denggi terutama di kawasan Jinjang Selatan dan sekitarnya.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dan langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk mengekangnya, masih terdapat ruang yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat supaya kes itu tidak melonjak.

"Saya percaya perkara ini hanya boleh ditangani jika masyarakat bersama-sama mengambil berat dengan membersihkan kawasan persekitaran terutama memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan kediaman masing-masing," ujarnya.

Mengulas kejadian yang menimpa keluarga Gheeta, beliau tidak menolak masalah longkang tersumbat dan rumput yang tidak dipotong merupakan antara penyebab kepada masalah pembiakan nyamuk berlaku di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pihaknya akan meminta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora memantau dengan lebih rapi dan mengadakan aktiviti penyemburan dan gotong-royong.

"Saya berharap apa yang menimpa keluarga ini dapat dijadikan iktibar kepada orang ramai khusus penduduk di kawasan Kepong.

"Ibu bapa juga mesti lebih peka dengan kesihatan anak mereka dan segera ke klinik jika anak mengalami demam atau tanda-tanda lain yang disyaki denggi," ujarnya.


P/S - Apa itu denggi? [KLIK SINI]



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!