Isteri pelakon dan penyanyi Joey, Noraini Nasir, mendakwa suaminya telah rujuk semula dengannya selepas empat hari artis tersebut melafazkan cerai pada Jun tahun lalu.
Noraini, 45, selaku plaintif menyatakan demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam syarie yang mewakilinya, Amli Embong dalam prosiding pengesahan lafaz cerai yang dikemukakannya kepada Joey, 27, di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang dekat sini, hari ini.
Menurutnya, semasa Joey memilih untuk rujuk semula, suaminya itu telah dilihat memegang dahinya dengan tangan kanan sambil meletakkan tangan kiri di atas al-Quran dan mengungkapkan lafaz:
"Aku Zulkifli Daud dengan ini rujuk kembali kepada kamu, Noraini Nasir.''
Noraini berkata, Joey melakukan demikian ketika mereka berada di bilik utama rumahnya yang terletak di Ampang, Selangor.
Berikutan itu, Amli bertanya kepada Noraini sekiranya ada saksi yang melihat kejadian tersebut tetapi wanita tersebut menyatakan hanya mereka berdua yang berada di bilik itu.
Noraini juga mendakwa Joey telah melafazkan cerai terhadapnya pada 4 Jun 2010 di luar rumahnya, namun dia tidak mendengar lafaz tersebut kerana segera masuk ke dalam bilik utama selepas mengetahui pelakon itu ingin berbuat demikian.
Wanita itu hanya mengetahui lafaz cerai itu selepas dihubungi melalui telefon oleh seorang rakan Joey, yang dikenali sebagai 'Acong', yang turut berada di rumah tersebut ketika itu.
Selain itu, Noraini memaklumkan bahawa pada hujung Mei tahun lalu, Joey pernah mengaku di hadapannya bahawa lelaki itu mempunyai hubungan sulit dengan pelakon, Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali.
''Joey mengaku hubungan tersebut dan dia kemudiannya menghilang diri selama empat hari. Saya gagal untuk menghubunginya kerana dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS),'' jelasnya.
Joey dan Noraini hadir pada prosiding hari ini secara berasingan dengan ditemani rakan masing-masing.
Joey selaku defendan diwakili oleh peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang tidak hadir hari ini kerana mempunyai urusan di Manjung, Perak dan digantikan oleh Munirah Abu Bakar.
Terdahulu, Joey dikenakan waran tangkap oleh Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah kerana kelibatnya tidak kelihatan di mahkamah ketika perbicaraan bermula.
Bagaimanapun perintah tersebut ditarik balik apabila artis itu tiba sewaktu soal jawab berlangsung antara Noraini dan peguam syarienya.
Pada prosiding lalu, Joey menafikan dakwaan isterinya yang mendakwa dia pernah rujuk semula selepas beberapa hari melafazkan cerai ke atas wanita tersebut.
Dia membuat penafian tersebut semasa disoal oleh hakim tersebut berhubung kandungan pernyataan tuntutan dalam permohonan pengesahan lafaz cerai yang dikemukakan oleh Noraini.
Noraini mendirikan rumah tangga dengan artis lelaki tersebut pada 4 Mei 2005 dan mereka membesarkan seorang anak angkat perempuan yang bernama Zidani, 5.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment