Monday, February 7, 2011

Ditetak dan disembelih..


Kesan tompokan darah yang ditemui orang ramai di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan dekat sini pagi ini membawa kepada penemuan mayat dua lelaki yang dibunuh secara kejam.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, pelanggan premis berkenaan curiga dengan kesan tompokan darah yang terlalu banyak dari tangga di tepi kedai itu.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat bagi mengetahui punca kesan darah berkenaan.

Polis yang tiba tidak lama kemudian menemui dua mayat lelaki warga asing yang dipercayai baru dibunuh di tingkat tiga rumah kedai tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, mayat kedua-dua lelaki warga Myanmar berusia 20-an itu ditemui di asrama yang menempatkan pekerja kilang kitar semula dakwat mesin pencetak.

Katanya, mayat pertama yang memakai kain pelikat ditemui di ruang tamu dengan kesan kelar di leher serta 10 kesan tetakan di dada.

“Mayat kedua pula ditemui di dalam bilik, juga mempunyai kesan kelar di leher serta 12 tetakan di dada. Mereka dipercayai ditetak dengan menggunakan pisau pemotong daging yang ditemui di rumah tersebut.

“Kedua-dua mangsa dipercayai bergelut dengan suspek sebelum dibunuh dengan kejam oleh lebih daripada seorang pembunuh,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Beliau menambah, dalam pergelutan itu suspek dipercayai turut cedera parah sehingga darahnya menitis di tangga dan di hadapan premis serbaneka di tingkat bawah.

Katanya, mangsa dipercayai tinggal bersama dua lagi rakannya di rumah berkenaan dan kedua-dua lelaki tersebut kini sedang diburu bagi membantu siasatan.

Abd. Razak memberitahu, satu operasi mengesan suspek turut dilancarkan pagi ini di kawasan berdekatan.

“Dalam operasi itu, kita menahan 30 warga asing yang berada berdekatan lokasi kejadian bagi mendapatkan petunjuk kejadian.

“Namun setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan walaupun tiada kejadian berunsur rompakan boleh dikaitkan,” ujarnya.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!