Monday, February 7, 2011

Maut jatuh


Hasrat seorang pembantu rumah wanita warga Indonesia melarikan diri dari rumah majikannya tidak kesampaian apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah kondominium di Paya Terubong awal pagi ini.
Wanita berusia lingkungan 30-an itu dikatakan cuba melarikan diri dengan menyambung ikatan beberapa helai kain selimut menerusi tingkap di salah sebuah bilik rumah majikannya kira-kira pukul 2.30 pagi.
Bagaimanapun, dipercayai ketika cuba turun, kain selimut itu terkoyak menyebabkan dia jatuh dan meninggal dunia setelah cedera parah di pinggang dan kaki.

Berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon bimbit wanita itu yang dihantar kepada seseorang dipercayai rakannya, dia dikatakan berniat untuk melarikan diri dari rumah majikannya.
Sebelum kejadian, wanita warga Indonesia itu berpura-pura ingin membuang sampah kira-kira pukul 11 malam namun tidak dibenarkan oleh majikannya.
Difahamkan, pembantu rumah itu baru sebulan bekerja untuk menjaga ibu bapa majikannya yang lumpuh dan sudah tua.

Kejadian itu disedari beberapa penduduk kondominium yang terdengar dentuman kuat. Mereka dan pengawal keselamatan bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di atas jalan kawasan kediaman itu.

Sementara itu, majikan wanita tersebut ketika ditemui berkata, dia mengambil pembantu rumah itu bekerja menerusi sebuah agensi pembantu rumah asing di sini untuk menggantikan bekas pembantu rumahnya yang pulang ke negara asal.

"Sejak bekerja di rumah saya, dia sering kelihatan murung dan tidak bersemangat bekerja kerana mempunyai masalah keluarga di kampung halamannya," katanya.

Majikan itu yang tidak mahu dikenali, enggan bercerita lanjut mengenai kejadian itu.
Sepasukan anggota polis yang tiba di tempat kejadian pada pukul 2.40 pagi turut menemui beberapa helai selimut yang diikat bersambung-sambung sepanjang 20 meter tersangkut di besi antena televisyen di sebuah rumah di tingkat dua.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan tidak mempunyai unsur-unsur jenayah.
"Polis akan menghubungi agensi pekerjaan terbabit bagi mendapatkan maklumat dan mengenalpasti identiti mangsa sebelum mayatnya dihantar pulang," ujar Kong Meng.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!