Friday, February 18, 2011

Ditetak...berkali-kali..


Rutin harian seorang penyelia sebuah kilang untuk menikmati sarapan pagi di sebuah restoran tidak kesampaian apabila dia ditetak lebih daripada 10 kali hingga mati berhampiran Jalan R2/2, Taman Pelangi, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, saksi memberitahu polis bahawa kira-kira jam 6.15 pagi, mangsa iaitu M Paraguna, 32, baru sahaja keluar dari kereta Wira berwarna merah untuk menuju ke restoran yang tidak sampai 20 meter dari kawasan parkir itu.

"Tiba-tiba mangsa diserang bertubi-tubi tiga lelaki yang memakai topeng dan bersenjatakan parang sehingga ditetak di bahagian tengkuk, tangan dan kaki sebelum mangsa mati serta merta," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata, saksi turut memaklumkan suspek kemudian terus melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Kancil sebelum orang ramai menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Abdul Rahim berkata, polis yang tiba kemudian mendapati terdapat lebih 10 tetakan namun tiada parang atau cap jari ditemui pada mayat.

Beliau berkata, polis menolak motif kejadian sebagai samun kerana tiada sebarang barang peribadi mangsa hilang dan tidak menolak kemungkinan bahawa motif pembunuhan adalah sebagai membalas dendam.

Katanya, polis percaya suspek telah lama memerhatikan gerak-geri mangsa sebelum nekad bertindak menyerang mangsa.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu Bernama, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dan singgah seperti biasa di restoran itu bagi menikmati sarapan pagi.

"Memang itulah rutin dia sebelum pergi kerja. Dia akan singgah di restoran itu untuk makan dan kemudian ke tempat kerja," katanya.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Batang Kali mempunyai dua anak, seorang perempuan berusia empat tahun dan lelaki berusia empat bulan.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!