Wednesday, February 16, 2011

‘Maafkan saya’


TIGER Woods sudah meminta maaf selepas didenda kerana meludah di atas green pada kejohanan golf Klasik Dubai Desert.
Bekas pemain nombor satu dunia itu didapati bersalah kerana melanggar peraturan Jelajah Eropah.

Woods mengeluarkan kenyataan dalam laman web sosial Twitter: “Jelajah Eropah betul - ia adalah satu perbuatan tidak bertimbang rasa untuk meludah sebegitu dan saya memahaminya. Hanya tidak terfikir ketika itu dan saya mahu meminta maaf.”

Jumlah denda itu tidak diumumkan kepada khalayak, tetapi kadar bagi melakukan kesalahan kecil adalah antara 250 (RM1,225) hingga 10,000 (RM49,000), satu jumlah yang kecil buat pemain yang dilaporkan menerima bayaran 1.8 juta (RM8.8 juta) untuk tampil pada kejohanan itu.


Sebaik selepas dia menerima notis mengenai hukuman denda itu, Woods ada tujuh hari untuk membuat rayuan jika dia berbuat demikian, namun pada hari pemain Scotland, Elliot Saltman memutuskan tidak mahu membuat rayuan kerana kesilapan menukar bolanya, bintang utama golf itu dijangka turut berbuat demikian.

Mungkin Woods patut memikirkan dirinya bertuah kerana dia tidak menerima hukuman lanjut di mahkamah Dubai.

Sesiapa yang meludah di tempat awam di Emiriah Arab Bersatu boleh didenda sekitar 100 (RM490) malah ada kempen dilakukan oleh kerajaan mengenainya tiga tahun lalu.

“Meludah di tempat awam adalah sesuatu yang dilakukan oleh llama. Anda berbeza - jangan meludah di kawasan umum,” menurut satu daripada iklan itu.

Ewen Murray, pengulas golf utama Sky Sports, mendedahkan kepada penonton mengenai apa yang dilakukan Woods pada lubang ke-12 selepas gagal melakukan par.

“Anda lihat etika kerjanya dan dia adalah sesuatu yang berharga kepada sukan ini dan menjadi inspirasi kepada sesiapa yang mahu menjadi pemain golf profesional,” kata Murray.

“Namun ada sebahagian daripadanya yang agak angkuh dan sombong. Ada pemain yang akan hadir selepasnya di lubang ini dan mungkin terpaksa melakukan putt di atas air ludahnya. Ia sesuatu yang tidak patut berlaku.”

Murray turut menganggap pemain itu yang meludah dikotak tee kedua pada pusingan kedua sebagai “sesuatu yang paling teruk pernah anda saksikan di atas lapangan golf”.

Woods dikatakan turut menyumpah kerana dia gagal menamatkan kemarau 15 bulan tanpa sebarang kemenangan.

Hanya satu pukulan di belakang pendahulu menjelang pusingan terakhir, juara 14 kejohanan utama itu merudum ke tangga ke-20 apabila menamatkan pusingan terakhir dengan 75 - catatan terburuknya dalam acara Jelajah Eropah sepanjang karier profesionalnya.

Woods kini gagal memenangi sebarang kejohanan dalam 17 penampilan, kali pertama sejak dia meninggalkan status amatur pada 1996.

Murray turut mengkritik Woods kerana tidak menandatangani autograf sekumpulan kanak-kanak selepas berlatih Jumaat lalu.

Walaupun Woods bukannya anggota Jelajah Eropah, dia bermain di Dubai sebagai bekas juara kejohanan itu dan tertakluk kepada peraturan pertandingan.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!