Friday, February 4, 2011

Siang malam terlantar


Siang atau malam tiada bezanya bagi Muhammad Nor Irfan Mohd Haniff kerana sepanjang masa dia hanya terlantar sejak dilahirkan tujuh tahun lalu.

Hanya rengekannya yang menjadi bahasa komunikasi antara anak sulung daripada dua beradik itu dengan ahli keluarganya.

Itulah hakikat terpaksa dialami pasangan Zaleha Md Saad dan Mohd Haniff A Rahman, keduanya-dua berusia 32 tahun, apabila dikurniakan seorang anak istimewa yang mengalami masalah perkembangan otak dan tumbesaran sejak lahir.

Zaleha berkata, dia tidak mempunyai masalah ketika mengandungkan Muhammad Nor Irfan tetapi ketika dalam proses bersalin, anak sulungnya itu terbelit dengan tali pusat dan lemas.

"Irfan yang dilahirkan dengan berat 3.6 kilogram (kg) diletakkan di bawah pengawasan selama 21 hari dan selepas itu dia menjalani beberapa pemeriksaan sebelum doktor memaklumkan dia lumpuh otak.

"Bila dilahirkan dia memang nampak seperti bayi normal, tapi bila sudah besar pertumbuhan badan serta perkembangan otaknya menjadi semakin perlahan serta hanya terlantar meskipun berusia tujuh tahun." katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Balik Bukit Padang Lalang, Simpang Ampat dekat sini, semalam.

Keluarga itu dikunjungi Gerakan Belia 4B Nibong Tebal diketuai pengerusinya, Jamilah Awang yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai bagi meringankan beban ditanggung keluarga terbabit.
Zaleha berkata, anak sulungnya itu hanya mampu mendengar serta menangis, malah hanya boleh makan makanan lembut dan susu untuk membantu proses pembesarannya.

"Ketika berusia satu hingga enam tahun, dia sering ditahan di hospital sekiranya demam dan mengalami kekejangan otot, tetapi sudah berkurangan sejak berusia tujuh tahun,” katanya yang terpaksa berhenti bekerja sebagai tutor di sebuah institut pengajian tinggi untuk memberi sepenuh perhatian kepada anaknya itu.

Sementara itu, Mohd Haniff yang bekerja di sektor swasta berkata, Muhammad Nor Irfan perlu dibawa tiga kali seminggu untuk menerima rawatan terapi dan memantau perkembangan anaknya di hospital serta klinik kesihatan berhampiran.

Katanya, dia pernah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan kerusi roda khas bagi memudahkan pergerakan anaknya, Oktober tahun lalu tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan.

Dalam pada itu, Jamilah berkata, pihaknya sudah memohon bantuan kerusi roda daripada Pusat Urus Zakat (PUZ) dan ia dijangka diterima tidak lama lagi.

“Kami turut memohon bantuan bantuan bulanan OKU terlantar daripada JKM. Kami terkilan dengan sikap pihak berkenaan yang tidak mengambil perhatian dengan masalah kanak-kanak malang seperti anak kami, walaupun mereka datang sendiri ke pejabat untuk membuat permohonan.” katanya



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!